Terkejut Terima Saman AES
IPOH : Seorang setiausaha sebuah syarikat swasta berasa teraniaya apabila menerima saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) seminggu selepas keretanya lesap akibat dicuri.
Ng Lee Kee, 33, berkata, kereta model Proton Saga Aeroback berwarna merah jingga miliknya hilang ketika dia menghadiri mesyuarat di Taman Canning pada 26 Oktober lalu.
“Sewaktu kejadian, saya meletakkan kereta berhampiran dengan lokasi mesyuarat diadakan lebih kurang jam 7 malam.
“Bagaimanapun, selepas mesyuarat tamat pada jam 9.45 malam, saya mendapati kereta hilang sebelum membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam pada hari yang sama bagi memaklumkan mengenai kejadian itu.
“Akibat kehilangan kereta itu, saya mengalami kerugian sebanyak RM15,000,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Pejabat Biro Pengaduan MCA dan Barisan Nasional (BN) Perak, di sini, semalam.
Lee Kee berkata, lebih mengejutkannya apabila dia menerima saman AES pada minggu lalu.
“Kandungan saman itu menyatakan kereta saya melanggar had laju yang ditetapkan iaitu 110 kilometer (km) kepada 122 km pada 27 Oktober 2012 di Kilometer 204.6 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Taiping,” katanya.
Berikutan itu, dia berharap pencuri keretanya dapat ditangkap dan saman AES yang diterima dibatalkan segera.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan MCA dan BN Perak, Datuk Lee Kon Yin berkata, beliau akan membantu Lee Kee membuat laporan polis supaya mengambil tindakan segera untuk menahan penjenayah yang melarikan kereta wanita malang itu.
“Selain itu, saya juga akan ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membatalkan saman mangsa,” katanya yang akan cuba mendapatkan salinan gambar daripada JPJ Putrajaya untuk mengenal pasti wajah penjenayah terbabit. – Sinar Harian
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda