KLANG : Seorang isteri tergamam melihat suaminya tercampak dan maut di depan mata selepas motosikal dinaiki pasangan itu dirempuh sebuah kenderaan di simpang tiga di Jalan Raya Barat di sini, semalam.

Isteri yang turut cedera parah itu tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu melihat suaminya, Hyrol Nazry Ismail, 38, menghembuskan nafas terakhir di atas jalan raya dalam keadaan tertiarap dengan topi keledar masih tersarung kemas di kepalanya.


Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam (KBKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abdul Rahman berkata, dalam kejadian sekitar 6.40 pagi itu, pasangan suami isteri terbabit dipercayai dalam perjalanan ke Shah Alam bagi menghantar isteri ke tempat kerja di sebuah kilang di sana.


Katanya, ketika cubaan membelok ke kanan untuk melalui jalan pintas menghala ke Majlis Perbandaran Klang (MPK), tiba-tiba motosikal dinaiki pasangan itu dirempuh sebuah kenderaan dari arah Jalan Emas menghala Telok Pulai.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan kedua-dua mangsa dan motosikal tercampak ke atas jalan raya.

“Suami yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian, manakala isterinya patah kaki kiri dan dibawa ke hospital.

“Kita dimaklumkan kedua-dua mangsa adalah golongan OKU,” katanya.

Rosly berkata, sehingga kini, pihaknya belum dapat mengenal pasti kenderaan yang merempuh mangsa.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

“Orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke Balai Trafik Klang Selatan bagi menyalurkan maklumat. Mereka juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Khairul Naim Saufy di talian 03-33722222 bagi membantu siasatan,” katanya. – Sinar Harian

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top