GEORGETOWN : Setiap kali waktu senja menjelang, pasti ada saja ular sepanjang empat meter dipercayai keluar daripada kawasan tanah perkuburan di Jalan Perak.

Pengerusi Kariah Masjid Jamek Hashim Yahya, Roslan Yusoff berkata, ia gara-gara ular berkenaan menjadikan kawasan perkuburan habitat baru memandangkan kawasan persekitaran yang langsung tidak terurus.


Menurutnya, mungkin disebabkan terlalu banyak, ada di antara ular sawa sepanjang tiga meter cuba memasuki pekarangan masjid yang terletak berhadapan dengan kawasan kubur.

“Nasib baik ada orang nampak dan kami segera ambil tindakan, kalau tidak sudah pasti ular berkenaan masuk ke ruangan solat wanita.

“Saya gesa Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Mainpp) segera ambil tindakan memandangkan kawasan tanah perkuburan ini adalah di bawah tanggungjawab mereka,” katanya.

Tinjauan bersama jawatankuasa kariah mendapati sememangnya kawasan perkuburan di Jalan Perak itu kotor dan langsung tidak diuruskan dengan sempurna.

Jalan Perak adalah salah satu kawasan tanah perkuburan yang terbesar di kawasan pulau negeri ini. Disebabkan itu tanah perkuburannya diselenggara Mainpp, bukannya jawatankuasa kariah masjid.

Setiausaha Kariah Masjid Hashim Yahya, Zambri Abdul Rahman berkata, tanah perkuburan yang dibiarkan tidak sempurna itu kebanyakannya adalah kubur warga asing.

Bagaimanapun beliau bersama jawatankuasa kariah terkilan kerana sudah hampir tiga tahun perkuburan itu tidak dipedulikan oleh Mainpp.

Penduduk yang mempunyai rumah berhampiran kubur juga dimaklumkan sudah beberapa kali menghubungi pejabat Mainpp, namun sehingga ke hari ini tiada tindakan yang diambil.

“Untuk pengetahuan orang ramai, di bawah timbunan sampah memang ada kubur lain, wajarkah kita memperlakukan perkara sedemikian kepada saudara Islam kita?,” katanya.

Tambah beliau lagi, jumlah kubur di situ tidak dapat dikira dengan jari gara-gara terlalu banyak dan berlapis-lapis.

Bagaimanapun pihaknya kesal kerana imej umat Islam sedikit sebanyak tercalar kerana perkuburan yang kurang bersih.

Kariah masjid sendiri sebelum ini sudah banyak kali menerima aduan daripada orang ramai, namun apa yang mampu dilakukan ialah menghubungi kembali Mainpp bagi menyampaikan aduan. – Sinar Harian

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top