Mohd Ridzuan menangkap anak ular sawa di pintu gril.


ALOR GAJAH - Jeritan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun menyelamatkan dia daripada menjadi mangsa seekor anak ular sawa yang masuk ke rumahnya di sebuah taman perumahan, di sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira 10 malam itu disedari ibu kanak-kanak berkenaan, Foo Chee Ling, 28, selepas terdengar tangisan anaknya, Foo Hao Suan, sebelum menuju ke ruang tamu dan terlihat anak ular sawa seang melilit pintu gril rumahnya.


Menurut Chee Ling, ketika kejadian, dia bersama suami, Foo Ming Tang, 27, serta anak tunggalnya itu baru sahaja tiba di rumah selepas keluar bersiar dan makan malam di bandar Melaka.

“Sebaik kereta diletakkan di garaj, kami masuk ke dalam rumah tanpa rasa syak, malah saya sempat perhatikan keadaan sekeliling sebelum masuk,” katanya.

Menurutnya, ketika masuk ke dalam rumah, anaknya kemudian menangis seolah-olah ketakutan menyebabkan dia bergegas ke ruang tamu.

“Sampai sahaja di hadapan pintu rumah, saya tergamam melihat kepala anak ular melilit pintu besi rumah. Manakala kepala ular itu menghala ke arah anak saya menyebabkan saya terus menjerit memanggil suami.

“Saya terus mendukung anak dan membawanya masuk ke bilik belakang kerana bimbang anak ular sawa itu mula menyusur dan mendekati kami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, kelmarin.

Chee Ling berkata, suaminya membantu mengawasi pergerakan anak ular sawa itu sebelum menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Sementara itu, Ketua Operasi JPAM Alor Gajah, Mohd Ridzuan Rahmat berkata, anak ular sawa berkenaan ditangkap menggunakan tangan bersarung dengan mencekup kepala ular berkenaan terlebih dahulu.

“Saiz anak ular itu yang masih kecil memudahkan operasi penangkapan yang mengambil masa kurang tiga minit,” katanya yang turut dibantu dua anggota lain.

Bagaimanapun, katanya, ular yang berukuran 0.8 meter itu tetap merbahaya kepada kanak-kanak walaupun kecil. -sinar

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top