Hazesah dan cucunya melakonkan semula kejadian dia disamun penjenayah bertopeng, petang kelmarin.


MASJID TANAH - "Saya ingatkan cucu nak bergurau dengan saya," kata Hazesah Amit, 65, ketika menceritakan detik cemas di samun penjenayah bersenjata sebilah kerambit di rumahnya di Kampung Solok Duku, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira 4.05 petang kelmarin, Hazesah baru saja masuk ke dalam dapur rumah dengan membiarkan pintu rumah terbuka selepas memberi makan ikan di kolam ternakannya di hadapan rumah.

"Ketika itu, saya sedang mengambil telefon bimbit untuk menghubungi anak saya. Tak sampai beberapa saat, ada seseorang memaut leher saya sambil mengacu pisau kerambit.


“Pada mulanya saya sangka cucu saja bergurau hendak kenakan saya. Tapi bila saya hendak pusingkan kepala untuk melihat,  pisau kerambit diacu itu menghiris leher saya,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Hazesah berkata, penyamun lelaki itu mengarahkannya membuka gelang tangan yang dipakai serta mengugut akan sembelih sekiranya kemahuannya tidak dituruti.

“Saya cuba tolak tangan penyamun itu dengan tangan kanan saya, tapi tidak berdaya sebelum saya cuba menolak guna tangan kiri pula. Ketika itu, gelang tangan saya direntap.

“Semasa cuba melawan, kerambit dipegang penyamun itu terhiris pada ibu jari kiri saya sebelum senjata itu tercampak kira-kira dua meter.  Penyamun itu tolak saya hingga jatuh," katanya.

Menurutnya, ibu jarinya berdarah sehingga menitis, sebelum penyamun terbabit melarikan diri menggunakan motosikal yang diletakkan di hadapan rumah yang tidak dimatikan enjinnya.

“Kemudian, dua cucu saya datang dan terkejut melihat keadaan saya sebelum maklumkan kejadian kepada anak saya. Kami terus membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah,” katanya.

Menurut Hazesah, kira-kira 2 pagi sebelum itu, salah seorang cucunya ada memberitahu dia ada terserempak dengan seorang lelaki menaiki motosikal dan berhenti di belakang rumahnya untuk beberapa minit, sebelum beredar.

Katanya, kehilangan gelang tangan itu menyebabkan dia kerugian kira-kira RM7,000.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.

Katanya, setakat ini polis sedang menyiasat mereka yang terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. -sinar

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top