Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh


KUALA TERENGGANU - Meskipun keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memihak kepada pengendali pasukan Terengganu, Peter Butler berhubung tindakan penggantungan yang diambil oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), namun pihaknya tetap akan melantik jurulatih baru musim depan.

Presidennya, Datuk Che Mat Jusoh berkata, pihaknya telah mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak Butler, namun pihak persatuan perlu melihat surat rasmi berhubung keputusan yang dibuat FAM terlebih dahulu.


“Apa pun kami akan menunggu surat rasmi pertama mengenai keputusan itu dan kami tetap dengan pendirian berhubung tindakan yang diambil PBSNT ke atasnya (Butler).

“Kita sudah mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak beliau, namun sebarang penyelesaian berhubung perkara ini bergantung kepada arahan yang dikemukakan oleh FAM,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Bagaimanapun, Che Mat memaklumkan bahawa beliau ingin mencari penyelesaian terbaik berhubung isu itu dan sebarang keputusan mengenai hal berkaitan pampasan yang dituntut jurulatih itu bergantung kepada arahan yang dikeluarkan FAM.

Kelmarin, Lembaga Tatatertib FAM memutuskan penggantungan tugas yang dikenakan terhadapnya PBSNT terhadap Butler sebagai tidak sah.

Hukuman gantung enam bulan serta denda RM4,000 oleh PBSNT ke atas Butler dibatalkan kerana tindakan yang dibuat oleh bekas majikannya itu tidak mengikut prosedur yang sah.

Sementara itu, ditanya berhubung kekeliruan mengenai pengambilan jurulatih baru E. Elavarasan, Che Mat berkata, Terengganu hanya mencapai persetujuan awal untuk menlantik beliau mengendalikan skuad Penyu musim depan.

“Kita masih belum menandatangani sebarang kontrak dengan Elavarasan memandangkan beliau masih mempunyai kontrak bersama Felda United sehingga 30 November depan.

“Bagaimanapun, pada dasarnya, kita sudah bersetuju untuk melantik beliau sebaik sahaja tamat kontraknya dengan Felda United,” katanya.-sinar

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top