Keluarga Kesal Mayat Difitnah Dibaham Buaya (3 GAMBAR)
Keluarga Kesal Mayat Difitnah Dibaham Buaya (3 GAMBAR) | PENDANG - Keluarga pembantu pegawai perubatan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Bumimas, Sibu, Sarawak, Mohd Munir Yusuf, 24, yang meninggal dunia akibat lemas di Sungai Krian berasa terkilan mengenai dakwaan sesetengah pihak mengatakan badan mangsa tinggal separuh sahaja.
Abang mangsa, Mohd Amir, 33, berkata, mereka sekeluarga agak kesal mengenai desas-desus dikeluarkan pihak tertentu menyatakan mayat adiknya telah ditemui dalam keadaan mengerikan di kawasan perairan Kampung Kupang, disyaki akibat dibaham buaya.
“Sedangkan, saya bersama salah seorang abang pergi ke Sarawak untuk cari adik yang hilang selepas mengetahui mangsa mengalami kemalangan, malah melakukan pengecaman mayat di Hospital Saratok.
“Justeru, dakwaan pihak tertentu menyatakan mayat adik lelaki saya yang telah ditemui seorang penduduk tempatan berada dalam keadaan separuh badan sahaja, manakala bahagian atas badannya hilang sebenarnya adalah tidak benar,” katanya.
Mohd Amir berkata, khabar angin digembar-gemburkan berkenaan bukan sahaja menyebabkan ibu ayahnya susah hati dan bertambah sedih, malah ia menimbulkan aib kepada mereka sekeluarga sedangkan badan arwah adiknya hanya mengalami luka.
Malah, katanya, mana-mana pihak berkenaan sepatutnya mengemukakan pertanyaan berhubung keadaan adiknya kepada dia mahupun abangnya yang turut berada di lokasi penemuan mayat mangsa, di Jeti Kampung Kupang, tiga hari selepas dilaporkan hilang.
Katanya, mereka sendiri melihat jenazah mangsa dalam keadaan cukup sifat, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Pendang, Rabu lalu, maka seharusnya pihak terbabit mempertimbangkan perasaan mereka sekeluarga sebelum membuat andaian sedemikian.
Tidak sangka Munir pergi dahulu
Kakak sulung mangsa, Adawiyah Yusuf, 48, berkata, bayangkan, perasaan ayahnya Yusuf Awang, 76, yang mengalami kencing manis tatkala mendapat makluman mengenai desas-desus yang dihebohkan itu.
“Sudahlah kehilangan salah seorang individu disayangi kami yang meninggal dunia akibat kecelakaan tidak dijangkakan, selepas itu, khabar angin mengenai mayat adik pula berada dalam keadaan tidak sempurna sifatnya,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, dia tidak menyangka mangsa yang merupakan anak ketujuh daripada lapan adik-beradik akan pergi dahulu menghadap Ilahi akibat kemalangan terbabit.
Katanya, arwah adiknya merupakan seorang lelaki yang sememangnya peramah, ceria, tidak cerewet dan suka berkawan dengan sesiapa sahaja sehingga membuatkan dirinya amat disenangi seluruh ahli keluarga dan rakan.
Manakala, kakaknya, Fauzani, 37, berkata, mereka juga tidak menyangka Aidilfitri baru-baru ini merupakan kali terakhir mereka sekeluarga akan bersama bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Model Khas, Bukit Jenun dan SMK Pendang itu.
Anak sentiasa maklum keadaan
Sementara itu, ibunya, Rodziyah Hashim, 67, berkata, mangsa yang sebelum ini bekerja di Hospital Kangar, Perlis kelihatan teruja apabila dikhabarkan akan ditugaskan ke kem berkenaan pada Disember tahun lepas sebab ingin mencari pengalaman baru.
Maka, katanya, dia akan menelefon anak lelakinya berkenaan pada setiap hari, malah sekiranya dia tidak berbuat sedemikian Munir sendiri tidak pernah ketinggalan untuk memaklumkan keadaan, lokasi mahupun perkembangan aktiviti harian kepada dirinya.
Lantas, katanya, dia tidak menyangka tragedi berkenaan akan menimpa anak lelaki yang rapat dengan dirinya berikutan arwah sentiasa membawa kenderaan dengan berhati-hati, serta sering mendengar nasihat dan pesanannya supaya berhati-hati ketika memandu.
Justeru, dia yang tinggal bersama suaminya di Taman Sri Pendang, dekat sini, sememangnya terkejut apabila menerima panggilan daripada pihak atasan anaknya memaklumkan bahawa Munir ditimpa kemalangan, malah dia dikatakan turut hilang.
Sebelum ini, seorang pemuda yang dilaporkan hilang selepas Proton Saga dipandunya terbabas ke dalam sungai berhampiran Pengkala Feri Kaba, Ahad lepas, ditemui kira-kira 20 kilometer dari lokasi kenderaan dinaikinya terjunam tiga hari kemudian.
Difahamkan, arwah Munir dan rakannya mengalami kemalangan berikutan kawasan terbabit yang agak gelap, manakala mangsa juga dipercayai belum mahir mengenai selok-belok laluan berkenaan sehingga mengakibatkan kenderaan terbabas ke dalam sungai itu.-sinar harian
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda