Sengsara Akibat Didera Bapa Akhirnya Terbongkar | TELUK INTAN - Pemeriksaan kesihatan murid di sebuah sekolah di sini, membongkar rahsia penderitaan seorang kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa dera ayah kandung sendiri.

Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan berasal daripada Batu 13 Tanjung Bayan, Hutan Melintang itu kemudiannya dibawa ke Hospital Teluk Intan bagi pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata,  seorang doktor di Hospital Teluk Intan menerima pesakit iaitu mangsa yang mempunyai kesan pukul dan dicucuh puntung rokok pada tubuhnya, Selasa lalu.

Menurutnya, ketika disoal oleh doktor, mangsa memberitahu perbuatan itu dilakukan bapanya sendiri sebelum laporan mengenainya dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, Selasa lalu.

"Bagaimanapun, kanak-kanak terbabit enggan menceritakan lebih lanjut dan mendiamkan diri ketika soal siasat dijalankan polis.

"Malah ibu kanak-kanak terbabit turut menafikan mangsa didera," katanya.

Difahamkan, berdasarkan laporan itu juga, seorang nelayan berusia 38 tahun  yang disyaki mendera kanak-kanak terbabit ditahan dan direman empat hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hilir Perak, S Selva Ratnam berkata, JKM menunggu hasil siasatan polis sebelum mengambil tindakan lanjut berhubung kejadian menimpa kanak-kanak itu.

"Jika siasatan polis mendapati suspek bersalah melakukan penderaan, JKM akan menempatkan mangsa di rumah perlindungan kanak-kanak.

“Jika sebaliknya, mangsa akan dihantar pulang ke pangkuan keluarganya,” katanya.-sinar harian

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top