Bakri Setapa, 32, menaiki beca bersama isterinya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU), Siti Habsiah Mohamad, 26, pada majlis perkahwinan mereka.
Bakri Setapa memimpin tangan isterinya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU), Siti Habsiah Mohamad pada majlis perkahwinan mereka di Kampung Pangkal Kala.
PASIR MAS - Perkenalan mereka bermula kerana tersilap nombor telefon, tertambat dengan suara sigadis, hati Bakri Setapa tidak berubah walaupun mengetahui kemudian pasangannya orang kurang upaya.
Bakri, 32, penoreh getah dari Dabong, Kuala Krai, tertambat hati untuk mengahwini Siti Habsiah Mohamad, 26, selepas kali pertama mendengar suara pasangannya semasa tersilap mendail nombor telefon.
Bakri, yang sempurna anggota badan, bersyukur kerana dapat mendirikan rumah tangga dengan Siti Habsiah yang cacat kedua-dua kaki sejak dilahirkan dan hanya mampu berjalan menggunakan lutut.
Kenduri kesyukuran meraikan kedua-dua mempelai itu berlangsung penuh meriah di rumah pengantin perempuan di Kampung Pangkal Kala, Bunut Susu di sini hari ini.
Pasangan yang diijab kabul semalam itu diarak menaiki kereta kuda diiringi pembawa pulut semangat dan bunga manggar dari rumah pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan sejauh kira-kira 300 meter.
Majlis kesyukuran pasangan itu ditaja penduduk kampung dengan kerjasama Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali yang juga anggota Parlimen Pasir Mas.
Antara yang menepung tawar pasangan mempelai itu ialah Ibrahim dan Yang Dipertua Perkasa Kelantan Mohd Fauzi Mohamad yang juga bekas anggota Dewan Undangan Negeri Tendong.
"Sememangnya cinta kami berputik hasil kesilapan saya mendail nombornya (Siti Habsiah) yang berlaku ketika saya ingin menghubungi seorang rakan. Kami terus berhubung selepas itu," kata Bakri ketika ditemui pemberita.
Bakri berkata beliau mengambil masa tiga bulan untuk berkenalan dengan Siti Habsiah sebelum menghantar rombongan meminang sebulan lalu.
Siti Habsiah kini bekerja sebagai pembantu tukang jahit di sebuah kedai selepas menjalani latihan asas menjahit melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat di sini pada 2007.
"Walaupun saya tahu dia (Siti Habsiah) cacat manakala saya cukup sifat, namun saya dapat menerima dia sebagai isteri dan ratu dalam rumah tangga yang didirikan ini," kata Bakri sambil menambah kata mereka bercita-cita membuka kedai jahit sebagai perancangan masa depan.
Ibu kepada Siti Habsiah, Siah Abdullah, 46, gembira dengan perkahwinan anak kedua daripada tujuh beradik itu.
"Saya bersyukur kepada Allah kerana jodohnya ada walaupun keadaan fizikalnya tidak sempurna seperti orang lain," katanya sambil memberitahu Siti Habsiah berdaftar sebagai OKU dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. - Bernama
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda