SEBERANG TAKIR – Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman, kesal dengan tuduhan pihak tertentu yang mengatakan Terengganu cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) disebabkan soalan bocor.

Dakwanya, isu yang sengaja dibangkitkan oleh segelintir pihak itu ternyata mempunyai agenda politik pihak tertentu, sekali gus cuba menimbulkan spekulasi pelbagai pihak berhubung kejayaan negeri itu.
“Tidak dinafikan ramai yang cemburu dengan kejayaan Terengganu mengekalkan kejayaan 11 tahun berturut-turut dalam UPSR hingga meletakkan negeri ini disegani negeri luar berhubung pencapaian yang membanggakan ini.

“Tetapi apa yang paling dikesalkan adalah dengan menuduh kejayaan ini adalah disebabkan mendapat soalan bocor dan situasi ini sebenarnya mengundang kebimbangan kepada guru dan ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui sebaik selesai menyempurnakan Majlis Graduasi 2012 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri Kali Ke-2 di sini, semalam.

Ahmad Razif berkata, berikutan tuduhan tidak berasas itu juga secara tidak langsung turut menjejaskan reputasi murid di negeri ini sehingga ada yang mendakwa murid negeri ini cemerlang tetapi tidak berkualiti.

“Sebelum ini, kita sering mendengar suara sumbang yang membangkitkan isu ini terutama dalam ceramah politik mereka yang bertujuan menimbulkan keraguan banyak pihak,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Razif yang juga Adun Seberang Takir, menyeru semua pihak tanpa mengira fahaman politik untuk berganding bahu bagi memastikan anak Terengganu terus cemerlang dalam bidang pendidikan.

Sementara itu, seramai 151 pelajar tingkatan enam dan lima di sekolah berkenaan menerima sijil masing-masing. Turut hadir, Pengetua SMK Ibrahim Fikri, Abdullah Mamat.-sinarharian

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top