KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang pelajar kerana menghina mahkamah dengan mengaibkan bekas teman lelakinya di laman sosial walaupun dilarang berbuat demikian.

Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan komital oleh seorang guru warga Kanada, Lee David Clayworth, 35, untuk memenjarakan Lee Ching Yan, 28.
Dalam keputusannya, Vazeer Alam berkata waran tangkap itu dikeluarkan bagi tujuan membawa Ching Yan ke mahkamah sebelum satu tempoh hukuman penjara ditetapkan.

"Saya berpuas hati bahawa defendan sengaja tidak mematuhi perintah mahkamah pada 30 Nov tahun lepas dengan terus mengeluarkan kata-kata kesat dan mengaibkan plaintif. Defendan juga memilih untuk tidak hadir ke mahkamah walaupun telah diserah surat untuk prosiding komital kepada dirinya dan melalui ibu bapanya.

"Mahkamah perlu ambil tindakan keras dan mahkamah ambil berat tentang isu pihak-pihak yang membuat penyiaran tidak terhad di Internet. Pihak-pihak ini perlu dipertanggungjawabkan berhubung tindakan mereka.

"Mahkamah memerintahkan penolong pendaftar mengeluarkan waran tangkap supaya defendan dibawa ke mahkamah ini supaya satu tempoh hukuman penjara dikeluarkan setelah mengambil apa fakta mitigasi (rayuan defendan)," kata Vazeer Alam.

Selain itu, beliau juga mengeluarkan arahan untuk disalurkan kepada Jabatan Imigresen supaya menghalang Ching Yan ke luar negara.

Beliau juga memerintahkkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia supaya 'block' dan 'deny' akses di laman sosial yang mempunyai kaitan dengan Clayworth.

Pada 30 Nov tahun lepas, Vazeer Alam mengeluarkan perintah supaya Ching Yan tidak membuat sebarang kenyataan dengan menulis perkataan yang mengaibkan terhadap bekas teman lelakinya itu.

Beliau juga memerintahkan Ching Yan membayar sejumlah RM200,000 sebagai ganti rugi. Bagaimanapun, jumlah itu meningkat kepada RM1 juta setelah Clayworth membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Menerusi writ saman yang difailkan pada 7 April tahun lepas, Clayworth mendakwa defendan telah menulis dan menerbitkan pernyataan serta gambar berhubung kelakuan peribadinya di laman sosial dan menghantar e-mel kepada kenalan mereka.

Vazeer Alam menetapkan 4 Dis untuk pengurusan kes.   

Clayworth diwakili peguam Ken St James.  - Bernama

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top