Penduduk mengharapkan masalah longkang tersumbat di Taman Sri Bunut dapat diselesaikan dengan kadar segera.
KOTA BHARU – 'Bagaikan mencurah air ke daun keladi', itulah gambaran terbaik perasaan yang dialami beberapa keluarga di Taman Sri Bunut, sejak dua tahun lalu.
Sistem longkang yang tidak dapat menampung jumlah air yang berlebihan itu mendatangkan pelbagai masalah kepada penduduk.
Penduduk yang ditemui, Kamal, 53 berkata, penduduk kawasan tersebut telah berulang kali mengadu masalah itu kepada pihak yang sepatutnya namun masalah masih belum diselesaikan.
“Kami telah beberapa kali adukan perkara ini kepada pihak Majlis Perbandaran namun jalan penyelesaian belum ditemui.
“Saya amat berharap perkara ini diketengahkan kerana kami tidak mampu menanggung pelbagai ancaman terutamanya bau yang busuk dan juga penyakit gatal kulit.” Katanya.
Kamal berkata, penduduk kawasan itu juga dibelenggu dengan demam denggi yang semakin berleluasa disebabkan oleh takungan air yang melimpah ke kawasan rumah.
“Kami bimbang, musim tengkujuh bakal tiba, air itu akan masuk ke dalam rumah dan tandas kami juga akan bertakung akibat daripada laluan longkang belakang rumah yang tersumbat.
Masalah yang sama turut dialami Siti, suri rumah berusia 34 tahun, apabila hadapan rumahnya turut dipenuhi air walau sudah beberapa kali diletakkan pasir dan batu.
“Anak-anak saya masih kecil dan mereka tiada tempat untuk bermain kerana kami tidak benarkan mereka keluar dari kawasan pintu utama rumah.
Menurut Siti, jalan di hadapan perumahan tersebut juga memerlukan turapan dan sistem perparitan yang betul harus dibuat untuk membantu perjalanan air keluar dan masuk.
“Sistem perparitan yang baru perlu dilakukan untuk menyelesaikan kes ini dan kami sangat berharap masalah ini diselesaikan dengan segera oleh pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, penduduk kawasan tersebut amat berharap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana khuatir ianya akan menyebabkan wabak penyakit yang teruk.-sinarharian
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda