Perempuan Jadi Lelaki Selepas Kecewa Dengan Cinta
ADA sesuatu pada pandangan mata Cheek, nama panggilan perempuan keras yang duduk di depan penulis sepanjang temu bual dijalankan. Walaupun tak dijelaskan dengan kata-kata, pandangan itu menunjukkan rapuhnya pendirian anak ketiga daripada lima beradik ini terhadap jalan hidup yang dipilihnya.
Walaupun berlagak keras, Cheek sebenarnya semakin sedar akan kesilapan meninggalkan norma hidup normal yang difitrahkan terhadap dirinya.
Bagaimanapun sebelum mengorek bagaimana dia mulai ingin berubah, perbualan dibawa kepada detik awal dia menjadi manusia songsang.
“Asalnya saya couple dengan seorang budak lelaki dari Kedah. Oleh sebab dia ada pertalian saudara jauh dengan opah saya, kami selalu berjumpa setiap kali dia balik kampung di Perak.
"Bayangkan. Kami berkawan dari darjah 6 sampailah ke tingkatan 5. Keluarga pun dah setuju nak tunangkan kami bila habis sekolah,” ujar Cheek, sebelum melepaskan nafas panjang.Lama dia terdiam sebelum menyambung,
“Tiba-tiba satu hari dia telefon saya. Dia cakap, mulai hari ini kita berpisah. Jangan tanya kenapa, tanya diri sendiri!”
Kata putus tersebut membuatkan Cheek bungkam. Dia mencari-cari di mana silap diri hingga hubungan yang sekian lama terjalin tiba-tiba ditamatkan dengan sangat mudah.
Setelah merayu dan merayu, akhirnya si lelaki menyatakan dia mendapat khabar bahawa Cheek tidak bermoral dan tidur dengan lelaki lain.
Pernyataan itu tidak benar dan amat menyakitkan.
Tambah membuatkan Cheek terkilan, dirinya hanya pernah disentuh oleh lelaki itu selama ini. Maka bermulalah dendam dan kemarahan dalam hatinya.
“Berbulan-bulan saya merayu agar diberi peluang menjelaskan keadaan tapi dia tak mahu dengar langsung. Akhirnya panggilan telefon pun keluarganya yang angkat. Mereka kata, dia dah pergi bekerja di tempat jauh.”
Gara-gara gambar lama
Apabila ditanya, mengapa memilih untuk menjadi tomboy atau pengkid sedangkan banyak lagi cara lain untuk mengekspresikan kemarahan, Cheek membuka cerita tentang sekeping gambar lama.
Gambar hitam putih yang ditemui ketika berusia 10 tahun di gerobok rumah itu memaparkan seorang wanita berambut pendek dan berpakaian persis lelaki. Bila ditanya, ibunya mengaku itu adalah dirinya.
“Mungkin sejak melihat gambar itu, ia lekat dalam fikiran saya. Saya rasa hanya dengan menjadi keras sahaja kita tidak akan ditindas sewenang-wenangnya oleh lelaki,” Cheek, membuat teori sendiri.
Bersumpah tidak mahu bercinta lagi dengan lelaki, Cheek berasakan tiada lagi perlunya dia menjaga penampilan kerana dia tidak mengharapkan sesiapa pun terpikat padanya. Rambut dipotong pendek dan pakaian juga ditukar agar dia kelihatan lebih keras. Sudahlah kurus, dipakainya pula bengkung agar dadanya kelihatan rata langsung.
Apabila penampilan keras, ada pula perempuan yang terpikat. Maka Cheek terlanjur melakukan satu lagi tangga dosa– menjalin hubungan sesama jantina.
Barangkali berbekalkan pengalaman dinodai bekas teman lelaki pertama, Cheek melakukan perkara serupa pada perempuan yang mendampinginya.
“Dah ramai jadi awek saya, paling lama tiga tahun. Semua putus sebab cemburu. Saya pula baran. Dengan yang couple lama tu saya biasa pukul sampai dia nak pengsan pun dia nak juga bertahan. Sebab tu lama dengannya,” cerita Cheek separa bangga.
Katanya, pengalaman ditinggalkan lelaki kerana mendengar cakap-cakap orang membuatkan dia pantang jika aweknya marah-marah disebabkan hal serupa. Apabila itu berlaku dia akan terus berlalu pergi dan mencari perempuan lain untuk ditakluki.
Naluri wanita tersentuh
Kata Cheek, antara punca mengapa dia terus galak beraksi bagai lelaki mungkin disebabkan sikap tidak peduli keluarganya juga. Ayahnya jenis tidak banyak cakap. Ibu pula, tidak menghalang mahu pun menyokong.
“Raya ni saya balik Perak macam biasa. Saya akan pakai baju Melayu. Keluarga tak cakap apa pun. Tapi, saudara-mara macam makcik-makcik saja yang bising lebih,” ujar Cheek.
Dia menambah, raya Aidilfitri lalu mencatat sejarah apabila dia mulai mengenakan baju kurung dan perkara sama mungkin akan dilakukannya Aidiladha ini.
Pada mulanya dia memberi alasan saja teringin memakai baju kurung namun setelah dikorek sedikit demi sedikit, Cheek mengakui ada insan yang telah berjaya menjentik naluri kewanitaannya setelah sekian lama.
Berjanji sanggup menerima dirinya seadanya, Cheek agak tersentuh dengan harapan yang diberikan oleh lelaki yang satu ini.
“Dia terlalu sabar dengan kerenah saya. Dia sanggup tunggu dua tahun. Sepanjang 40 citra Iktibar tempoh itu dia tak pernah putus asa beri nasihat dan sokongan untuk saya berubah. “Mungkin saya sendiri memang perempuan sebenarnya. Jadi hati taklah sekeras mana. Bila dah selalu dipujuk dengan lembut, terkesan juga hati ini.
“Sekarang dia tunggu saya berubah sepenuhnya. Mungkin bermula raya ini saya akan buat perubahan besar dalam hidup ini,” ujar Cheek dengan wajah agak malu.
Begitu pun, dia mengakui ada dua perkara yang tidak beres di fikirannya sebelum melakukan langkah besar tersebut.
Pertama, dia agak serabut mengenang bagaimana mahu memberitahu awek yang sekian lama bersamanya, Syahadah bahawa dia mahu mengakhiri hubungan mereka.
Kedua, dia risaukan keadaan payudaranya yang sekian lama dibalut kejap oleh bengkung!-sinarharian
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda