Mat Yo dan Daudsu utamakan TRW
TEKAD untuk membawa Kelantan ke pusingan akhir Piala Malaysia 2012, peledak berbisa The Red Warriors (TRW), Norshahrul Idlan Talaha menepis dakwaan yang mengatakan beliau bakal berhijrah ke Johor, musim depan.
Masih terikat kontrak selama setahun dengan juara Liga Super itu, Norshahrul yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo menegaskan tumpuannya kini hanyalah kepada skuad Kijang.
“Saya masih terikat kontrak selama setahun bersama Kelantan. Jadi tiada isu sama ada saya bersetuju ataupun tidak untuk berhijrah ke pasukan lain,” katanya kepada Sinar Harian melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), semalam.
Sebelum ini, Mat Yo bersama dua lagi pemain Kelantan, Mohd Daudsu Jamaluddin dan Mohd Nurul Azwan Roya dilaporkan disunting bekas juara Piala Malaysia 1991, Johor untuk beraksi dalam kancah Liga Perdana musim depan.
Malah dalam laporan itu juga menyatakan, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bersedia berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi membolehkan Mat Yo mendapat pelepasan untuk menyarung jersi Johor.
Dalam masa sama, turut ditanya adakah beliau berhasrat untuk mengubah haluan, Mat Yo bagaimanapun enggan menggulas lanjut.
“Belum tahu lagi, tumpuan saya sekarang hanya untuk Piala Malaysia dan juga Piala Suzuki AFF," katanya.
Dalam perkembangan lain, hanya berserah kepada rezeki, Daudsu tidak mahu isu perpindahan mengganggu tumpuannya dalam mengharungi saingan separuh akhir Piala Malaysia.
Enggan mengulas lebih lanjut mengenai hala tuju masa depannya, tonggak pertahahan TRW itu mengakui banyak hati yang perlu dijaga.
"Tumpuan saya hanya untuk Kelantan dan fokus bagi mencapai misi treble musim ini. Jadi, buat masa ini saya tidak fikir untuk kemana-mana lagi,” katanya. -sinar
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda