'Siapa yang kurang ajaq tu?'KURANG ajaq, atau sebutlah apa sahaja... biadab, terhina, terkutuk, melampau - semuanya paling untuk menceritakan hal satu perbuatan keji dalam kempen PRK Dun Sungai Limau ini.

Ya, mungkin ramai sudah tahu perbuatan terkutuk itu ialah meletakkan di tempat-tempat awam patung bahagian pinggang ke bawah dengan sebelah kaki terpotong (kudung) dengan tulisan 'KAKI USTAZ'.

Amat mudah untuk difahami bahawa sindiran itu dikaitkan dengan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, seorang tokoh pemimpin yang amat disanjungi oleh kawan dan lawan yang meninggal dunia pada 26 September lalu, antara lain bersabit komplikasi diabetes yang sebelum itu menjadi sebab kedua-dua kakinya terpaksa dipotong.

Baru-baru ini, tercetus kontroversi ketika kempen PRK Dun Sungai Limau apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa terlepas cakap mengaitkan penyakit yang dihidapi Azizan ketika mengulas isu kenaikan harga gula selepas kerajaan menarik balik subsidi harga bahan pemanis itu.

Susulan itu, anak Azizan, Mohamad Rafi'iy, 32, menuntut Muhyiddin meminta maaf kerana dikatakan menyentuh sensitiviti keluarganya yang masih bersedih atas pemergian bekas Menteri Besar Kedah itu.

Muhyiddin kemudian, dalam satu reaksi yang boleh disifatkan sebagaiagak dramatik menyambut gesaan itu dengan meminta maaf kepada keluarga Azizan sebagaimana yang dituntut.

Permintaan maaf Muhyiddin langsung diterima Puan Sri Faekah Syeikh Hamzah, balu Azizan yang langsung mendedahkan bahawa hubungan baik antara Allahyarham dengan Timbalan Perdana Menteri sudah lama, sejak 1960an lagi iaitu ketika kedua-duanya belum aktif sebagai ahli politik sepenuh masa.

Malah kata Faekah, dalam berkawan, Azizan sentiasa mengetepikan perbezaan politik menyebabkan beliau diterima baik rakan-rakan dari pelbagai latar belakang.

Namun, amat malang sekali, dalam keadaan kempen PRK sudah cuba dimurnikan oleh sifat saling menghormati dan maaf memaafi antara Muhyiddin dengan keluarga Azizan, ia dicemari pula oleh perbuatan tidak bertanggungjawab menggunakan patung berkaki kudung ini.

Setakat ini, tidak pula diketahui siapa atau pihak mana yang menjadi dalang tindak tanduk celaka ini! Apa yang jelas, pihak Pas dan BN sudah saling tuduh menuduh, 'hang kata aku, aku kata hang!'.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil KhirBaharom yang juga Ketua Umno Bahagian Jerai, semalam sudahpun membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Sebenarnya, tuduh menuduh ini tidak lain, tidak bukan hanya menurut sentimen kepartian masing-masing. Orang Pas sudah pasti menuduh orang BN yang melakukannya manakala orang BN pula akan menuduh orang Pas sendiri dengan tujuan untuk memfitnah mereka (orang BN) supaya dibenci oleh pengundi pada saat-saat akhir menjelang hari mengundi esok.

Hatta, mereka yang tinggal di Kuala Lumpur, Johor malah di mana-mana sahaja di seluruh dunia, pun tanpa mencongak dosa pahala masing-masing, mudah sahaja menekan huruf-huruf pada papan kekunci untuk menulis 'ini kerja orang Umno' atau 'ini kerja orang Pas' ataupun 'ini kerja orang PKR' ketika membicarakan hal itu.

Tidak percaya, tengoklah pada komen-komen berkaitan kejadian itu sama ada di Facebook atau blog. Dalam kalangan yang menuding itu, siapa yang sebenarnya menyaksikan pertuduhan mereka?

Inilah masalahnya, dan inilah sebab dan natijah yang dikehendaki oleh pihak yang melakukannya. Mereka sudah pasti orang yang tidak takut dosa dan tergamak melakukan perbuatan sehina itu asal sahaja matlamat mereka tercapai.

Sekarang, BN dengan Pas sudah saling tuduh menuduh. Kalaulah BN yang melakukannya, apakah mereka tidak mampu untuk menimbang bagaimana perbuatan yang semacam itu mudah sahaja akan makan diri mereka sendiri kerana Azizan amat disayangi oleh orang Sungai Limau yang sudah lima penggal mengundi Allahyarham sejak 1995.

Menyakitkan hati keluarga Azizan yang begitu ramai di Sungai Limau terang-terangan adalah perbutan bunuh diri bagi BN! Ada satu laporan bahawa ketika pemerintahannya sebagai MB, populariti Azizan adalah melebihi parti Pas sendiri!

Manakala jika mahu dituduh jentera Pas pula, adalah tidak logik, tidak munasabah malah tidak mungkin untuk mereka tergamak melakukan perbuatan yang seumpama itu terhadap pemimpin mereka sendiri yang cukup mereka sanjungi sekalipun alasan yang memungkinkannya, untuk memfitnah BN supaya pengundi membenci BN!

Lalu, jika kedua-duanya bukan, siapa? Ya, ada kemungkinan ini kerja pihak ketiga yang mahu melaga-lagakan dua pihak tatkala kedua-duanya sedang berada di zon yang sangat sensitif.

Siapa mereka? Sama-sama kita fikirkan dan simpan dalam hati. Jangan kita luahkan kerana ini hanya kemungkinan. Sebabnya, kita sendiri bukan saksi. Kita hanya boleh mendoakan supaya ALLAH menginsafkan mereka yang berkenaan.-sinar harian

Posting Komentar

  1. MASYAALLAH. KITA RASA BETUL. TAPI YANG BETUL BELUM TENTU TEPAT. BUAT YANG BETUL DAN BETULKAN YANG BIASA.

    BalasHapus

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top