Keadaan mata kiri Muhammad Azim ketika berada di rumahnya sebelum dibawa ke Hospital Kuala Krai dan dipindahkan ke HUSM Kubang Kerian.
Saya tidak mahu mati lagi | KOTA BHARU - “Ore tok sir mati lagi (Saya tidak mahu mati lagi) ummi.” Itulah luahan Muhammad Azim Nor Hazri kanak-kanak penghidap kanser mata yang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak awal bulan ini.
Walaupun Muhammad Azim sudah mengetahui penyakitnya itu amat kritikal namun, kanak-kanak tersebut berusaha melawan kesakitannya, apatah lagi seolah-olah mahu meyakinkan ibu bapanya yang dia masih kuat.
Kata-kata itulah yang memberi kekuatan bagi ibunya, Nik Zuraidah Nik Yali, 39, tatkala melihat anaknya berusia empat tahun itu terbaring dan mata terkebil-kebil kerana terpaksa menanggung penderitaan sejak dua tahun lalu.
Gambar terkini keadaan bonjolan pada mata Muhammad Azim ketika menerima rawatan di HUSM Kubang Kerian.
“Sebak hati saya ketika menceritakan tentang kematian bersama Muhammad Azim, namun saya gagahkan jua supaya dia mengerti keadaannya sekarang. Rupanya di sat sebegini pun dia kuat.
“Lebih menyedihkan saya dan juga menjadi pembakar semangat sehingga ke saat ini apabila anak kecil ini merenung kepada saya dan memberitahu dia tidak mahu mati lagi,” katanya.
Nik Zuraidah dari Kampung Keroh, Kuala Krai mengakui dengan kesengsaraan yang ditanggung oleh anak bongsunya itu, dia reda apa jua akan berlaku selepas ini kerana pelbagai usaha dilakukannya termasuk kerap kali dibedah.
“Saya sudah puas menangis, saya reda dengan ketentuan ALLAH uji kehidupan kami sekeluarga, namun selagi umur panjang kami tetap akan menjaga Muhammad Azim dengan baik,” katanya.
Nik Zuraidah yang kini terpaksa bergilir-gilir dengan suaminya, Nor Hazri Ahmad, 40, menjaga Muhammad Azim di HUSM juga memberitahu anaknya sebelum ini petah berkata-kata namun sekarang menjadi semakin pendiam.
“Sepanjang hari Muhammad Azim tidur dan sekali-sekali membuka matanya. Jika dahaga dia akan minta air dengan suara yang perlahan. Dia kurang makan kerana doktor memberikan susu khas membuatkannya kenyang.
“Dia hanya boleh minum menggunakan penyedut minuman kerana bonjol pada matanya menutup sedikit ruang mulutnya dan ini menyukarkannya minum seperti biasa,” katanya.
Kelmarin, Sinar Harian melaporkan penderitaan dilalui Muhammad Azim setelah disahkan menghidap retinoblastoma atau sejenis kanser mata kanak-kanak pada 2011.
Di samping itu, ibu bapanya mengharapkan gaji harian selain bantuan bulanan RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menampung perbelanjaan bagi menyara dua lagi tanggungannya.
Bagi mereka yang ingin membantu bolehlah menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank Nik Zuraidah sendiri iaitu, 153029208754.-sinar harian
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda