Black Akur Terpaksa Dedah Identiti Tunang | PETALING JAYA – Penyanyi Black yang sebelum ini berkeras mahu menyembunyikan identiti tunangnya akhirnya dia harus berkongsi sedikit mengenai hal peribadinya kepada umum atas kedudukannya sebagai artis.

Black atau nama sebenarnya Hanifah Md. Hanafiah, 26, berkata, oleh sebab itulah dia mula memuat naik foto-foto bersama tunangnya yang dikenali sebagai “Cira Khairi,” di laman sosial Instagram.

“Sebagai orang yang dikenali, saya faham peminat nak tahu setiap perkara tentang diri saya tetapi ada yang boleh saya kongsi dan ada yang tidak boleh.

“Diakui juga, sebelum ini memang saya tidak mahu berkongsi berita pertunangan ini. Takut tak jadi, malu pula seluruh keluarga kami.

“Bagaimanapun, saya sedar, menjadi selebriti juga, kita perlu berkongsi sedikit tentang hal-hal penting mengenai diri kepada orang ramai. Dan kerana itu saya mula memuatkan beberapa foto saya dan tunang di Instagram,” katanya yang dihubungi mStar Online pada Khamis.


Tambah Black yang merancang untuk menamatkan zaman bujangnya pada hujung tahun ini, dia berjanji akan berkongsi berita gembira itu sekiranya sudah menetapkan tarikh perkahwinannya.

Black dan wanita berkenaan mengikat tali pertunangan pada 26 Januari lalu dalam satu majlis sederhana yang dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Namun ia dirahsiakan daripada diketahui umum bagi menghormati permintaan keluarga.

Beritahu penyanyi yang popular dengan lagu Teman Pengganti ini, dia sudah bersedia majlis pertunangannya itu akan terbongkar juga walaupun dia tidak menghebohkannya.



“Mujurlah awal-awal lagi saya dah jelaskan kepada keluarga pihak perempuan bahawa pertunangan ini sukar dirahsiakan kerana saya seorang selebriti.

“Ditambah pula dengan adanya pelbagai medium sosial, ia cepat tersebar. Tetapi tak sangka pula hal ini dapat dirahsiakan hampir sebulan,” selorohnya.

Sementara itu, mengenai perkembangan lain, Black baru sahaja selesai berlakon filem berjudul Longkai di bawah arahan Hashim Rejab terbitan Metrowealth International Group (MIG).

Dalam filem itu, Black membawakan watak bernama Ketum bergandingan bersama pelakon Erra Fazira dan Wawa Zainal.

“Ini merupakan filem pertama saya dan tak sangka pula lakonan saya diberi respons positif daripada pengarah.

“Tetapi ia agak mencabar juga kerana pada hari pertama, kekok juga dibuatnya untuk berlakon.

“Alhamdulillah, selepas itu saya semakin selesa. Bagaimanapun lakonan ini hanya sekadar mahu mencuba. Karier nyanyian tetapi diutamakan,” ujarnya. – mStar Online

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top