Selepas kecewa tak terpilih tahun lalu, Siti Saleha bangkit jadi calon Top 5 ABPBH 2012

Hati kecil Siti Saleha Mohd Baharom pernah terguris apabila namanya tercicir daripada senarai Top 5, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), tahun lalu. Sedangkan, ketika itu, drama lakonannya Nora Elena mencetus fenomena hebat.

Namun, kekecewaan aktres jelita ini terubat apabila namanya melangkah ke peringkat akhir ABPBH 2012 - seiring Fasha Sandha; Neelofa; Nabila Huda dan Izara Aishah dalam kategori Pelakon Televisyen (TV) Wanita Popular.

Pelbagai persoalan menerjah dalam diri, saya terasa seperti dipinggirkan. Malah, kehadiran saya bagai tidak diperlukan. Namun, syukur saya cepat tersedar bahawa saya masih dianggap pelakon baru. Jadi memerlukan sedikit masa untuk memikat peminat,” Siti Saleha Mohd Baharom

Ketika hadir pada majlis pengumuman Top 5 ABPBH 2012 di Holiday Villa Hotel & Suites, Subang Jaya, minggu lalu, bibir gadis kacukan Melayu-Inggeris ini tidak henti-henti menguntum senyuman.

“Jujur saya terkejut dan sangat gembira apabila nama dicalonkan dalam kategori yang sangat kuat ini.”

“Saya tidak mahu mengharapkan apa-apa. Alhamdulillah, dicalonkan pun sudah cukup menggembirakan hati saya,” kata Siti Saleha yang baru muncul dengan drama berjudul Ruby di TV3.

Ambil masa pikat peminat 

Mengimbau kenangan gagal menjadi calon akhir ABPBH tahun lalu, Siti Saleha terpaksa akur.

Ini kerana, katanya, ia disebabkan namanya masih terlalu baru dalam dunia lakonan. Ketika itu, dia baru dua tahun bergiat dalam bidang lakonan. Justeru Siti Saleha mengakui dia memerlukan banyak masa untuk menyerlah dalam bidang yang penuh persaingan ini.

“Memang ketika itu, saya kecewa. Terdetik dalam hati, di mana silapnya hingga saya gagal melangkah ke Top 5. Tanpa saya sedari, ketika itu, perjalanan seni saya masih baru dan semuanya bukan tugas mudah.

“Pelbagai persoalan menerjah dalam diri, saya terasa seperti dipinggirkan. Malah, kehadiran saya bagai tidak diperlukan. Namun, syukur saya cepat tersedar bahawa saya masih dianggap pelakon baru. Jadi memerlukan sedikit masa untuk memikat peminat,” katanya.

Kesabaran tiga tahun terubat

Siti Saleha berkata, selepas tiga tahun menjadi pelakon, baru semuanya nampak di depan mata.

“Akhirnya, apa yang saya damba menjadi kenyataan. Ketika drama Nora Elena ditayangkan saya masih baru, selepas itu barulah saya mendapat sokongan tidak berbelah bahagi dari peminat sehingga tertubuhnya Team Siti Saleha.

“Kelab ini diwujudkan Ogos tahun lalu dan saya sudah mengadakan beberapa aktiviti. Saya tidak menyangka peminat sudi menubuhkan kelab ini semata-mata bagi memberi sokongan kepada kerjaya seni saya,” kata Siti Saleha yang mengakui belum mempunyai strategi khusus bagi memenangi undi pembaca pada ABPBH 2012.

Seperti yang diluahkan dalam perbualan, Siti Saleha bagaimanapun tidak mendamba kemenangan dalam pertandingan ini.

Melihat kepada senarai pencalonan yang sengit, gadis berasal dari Klang, Selangor ini, mengakui berjaya melangkah ke peringkat Top 5 sudah memadai.

Apa yang mengejutkan gadis ini, tahun lalu, perjalanan seninya agak perlahan dengan tidak banyak produk yang dijayakan. Lantas hatinya terharu apabila peminat masih mengingati dirinya.

Malah ramai yang bertanya mengenai kehilangannya daripada dunia lakonan.

Sehubungan itu, bagi membalas kerinduan peminat, Siti Saleha mahu kembali aktif.

Beberapa produk lakonannya sama ada drama atau filem sedang menanti untuk ditayangkan tahun ini.-cari

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top