KEHADIRAN cahaya mata dinantikan pasangan yang sudah berkahwin.

Begitu juga dengan pasangan selebriti, Zahiril Adzim dan Shera Aiyob yang kini berdebar menanti kelahiran anak pertama apabila Shera kini sudah hamil hampir empat bulan.

Berkongsi mengenai pengalaman hamil anak pertama, Shera berkata, dia tidak mengidam makanan pelik-pelik, namun selera makannya bertambah ketika di awal kehamilan.


"Saya bersyukur kerana tidak menghadapi alahan yang teruk, muntah pun tidak teruk. Cuma saya cepat loya jika terbau makanan mentah yang hanyir seperti kupang, lala dan sebagainya.

"Pernah sekali, saya sediakan Omelette untuk Zahiril sarapan pagi, sebaik saya pecahkan telur dalam kuali, saya terus rasa loya. Sejak dari itu, saya jarang masak kerana saya juga tidak boleh bau tumisan.

"Malah, ada juga bau beberapa wangian yang saya tak boleh hidu, kalau terhidu, saya mesti akan rimas sehingga rasa nak marah," katanya ketika ditemui selepas tayangan filem Juvana, baru-baru ini.

Shera atau nama sebenarnya, Nur Syahirah Aiyob berkata, biarpun dia masih di awal trimester kehamilan, namun dia tidak mempunyai masalah untuk berlakon.

"Tawaran berlakon masih tidak putus buat masa ini, tapi kalau saya tak larat, baru saya tolak tawaran itu. Malah sekarang ini pun saya masih menjalani penggambaran bersama kak Eirma Fatimah.

"Ibu dan ibu mertua saya memang risau dan mereka ada ingatkan supaya jangan terlalu lasak sangat masa awal kehamilan ini.

"Tapi Alhamdulillah, setakat ni okey. Malah, sewaktu menjalani penggambaran di Turki baru-baru ni, saya siap boleh mendaki bukit lagi. Rasa terkejut dan macam tak percaya yang saya daki bukit sedangkan saya hamil," katanya sambil ketawa.

Menyentuh mengenai perubahan suaminya, Shera berkata, Zahiril yang sebelum ini rajin membantunya membuat kerja rumah, bertambah rajin membantunya sejak hamil.

Zahiril impi anak lelaki

Dalam pada itu, Zahiril yang ditemui berkata, dia yang sememang penggemar durian  berubah menjadi 'hantu' durian semenjak isterinya itu berbadan dua.

Ditanya mengenai jantina anak, Zahiril berkata, dia sejujurnya menginginkan anak lelaki, namun tidak kisah andai anak bakal lahir itu anak perempuan.

"Bagi saya, apa yang penting, anak yang bakal dilahirkan kelak sihat. Namun, jika anak itu lelaki, dia boleh jadi kawan baik saya dan boleh menjadi peneman Shera jika saya keluar bekerja.

"Jika anak perempuan pula, dia akan jadi kawan baik Shera dan boleh temankan ibunya membeli-belah nanti," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai lakonannya dalam filem Juvana yang memperlihatkan dia digandingkan dengan isterinya sendiri, Zahiril berkata, dia pada mulanya merasa agak sukar untuk menjayakan babak romantis dengan Shera.

"Ketika penggambaran filem itu, kami baru sebulan berkahwin dan timbul rasa segan untuk menjayakan babak sebagai pasangan kekasih.

"Tapi segala rasa yang terlahir dari jiwa saya sebagai Daim kepada dia sebagai Sara dalam filem itu adalah jujur dan ikhlas," katanya sambil ketawa.-sinar harian

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top