MIRI: Seorang pelajar tingkatan dua yang sebelum ini menyuarakan keengganannya ke sekolah pada sesi petang kerana adik-beradiknya yang lain bersekolah pagi, ditemui mati tergantung di tingkap bilik di rumahnya di Desa Pujut, di sini, semalam.

Alexander Ajang, 14, yang juga anak kedua daripada empat beradik itu ditemui tergantung dengan leher dijerut tuala dan baju yang diikat pada jeriji tingkap oleh bapanya, jam 12 tengah hari.

Ibu saudara mangsa, Roselind, 32, berkata, kematian mangsa amat mengejutkan kerana sejam sebelum kejadian, dia bersikap seperti biasa ketika membuka pintu rumah untuk bapanya berusia 40-an yang pulang untuk menghantarnya ke sekolah.


“Sebaik bapanya yang juga abang saya tiba di rumah, dia berehat di rumah tamu dan menyuruh anaknya itu mandi serta memakai seragam untuk ke sekolah.

“Tapi, selepas setengah jam dia masih tidak keluar dari bilik biarpun ayahnya memanggil namanya beberapa kali. Sebaik pintu bilik dibuka, ayahnya terkejut melihat dia tergantung di tingkap bilik dan sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut wanita itu, sehari sebelum kejadian, mangsa memberitahu tidak mahu ke sekolah kerana abang serta adik-beradiknya yang lain bersekolah sesi pagi dan hanya dia pada sesi petang.

“Bagaimanapun, semua ahli keluarga lain tidak mengendahkan kata-katanya kerana menganggap itu perkara biasa saja. Kami tidak menyangka dia akan mengambil tindakan drastik seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.-hmetro

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top