BEKAS penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha belum membayar harga tebus kontrak seperti yang diminta oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) walaupun telah menandatangani kontrak baharu bersama pasukan Johor Darul Takzim.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, mengikut peraturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Norshahrul atau Mat Yo sepatutnya membayar harga tebus kontrak tersebut dalam tempoh 30 hari selepas didaftarkan dengan pasukan baru.


"Kita tak bantah keputusan beliau untuk menamatkan kontrak secara sebelah pihak, tapi sampai hari ini Mat Yo belum  membayar harga tebus kontrak tersebut sehingga Kafa terpaksa membuat tuntutan kepada Jawatankuasa Status FAM.

"Dalam kes ini kita telah mengemukakan afidavit kepada jawatankuasa berkenaan dan berharap agar mereka dapat  menyelesaikan perkara ini secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jersi dan barangan rasmi 'The Red Warriors' serta pengumuman penaja musim 2013 di Kota Bharu, hari ini.

Annuar, yang tidak mendedahkan nilai harga tebus kontrak itu, berkata penyerang yang pernah mencipta nama sebagai salah seorang tonggak utama pasukan kebangsaan itu juga masih mempunyai baki kontrak bernilai RM400,000 bersama Kafa.

Beliau berkata, walaupun FAM mempunyai kuasa untuk memutuskan seseorang pemain layak bermain atau tidak dalam  sesebuah liga setelah menebus kontrak, namun perkara itu sepatutnya tidak diambil mudah kerana dibimbangi pemain lain tidak  akan mengikuti peraturan pada masa hadapan.

"Bagaimana anda boleh membenarkan pemain beraksi dalam liga yang mana secara teknikal, kontrak dia belum lepas. Tebus kontrak hanya lepas setelah dibayar. Tak boleh tebus mulut terus pergi bermain, ia tidak betul.

"Kita nak tengok ia sebagai kes pertama. Kali pertama juga perkara ini berlaku (di Malaysia) dan persatuan berharap perpindahan itu mengikut
norma-norma perpindahan yang betul kerana kita perlu berikan sijil pelepasan untuk dia bermain dengan pasukan lain," katanya.

Justeru, Annuar berharap agar badan induk itu dapat menyelesaikan masalah itu dengan segera kerana tidak mahu perkara tersebut berpanjangan
tanpa penyelesaian yang kukuh daripada kedua-dua pihak.

"Perkara ini tak pernah berlaku di liga-liga Eropah dan saya nak tengok keputusan yang akan diambil oleh FAM  berhubung perkara ini," katanya.

Polemik perpindahan Mat Yo menjadi isu hangat diperkatakan dalam kancah sukan bola sepak negara selepas  menamatkan kontrak secara sebelah pihak walaupun masih berbaki 13 bulan bersama Kafa selepas dilamar pasukan dari selatan,  Johor Darul Takzim pada musim lepas. - Bernama

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top