Pegawai dan anggota polis menunjukkan gambar tahanan kepada penduduk Kampung Ara Kuda semalam.

TASEK GELUGOR – Sebelum ini kehidupan penduduk kampung di sini khususnya Kampung Padang Cempedak, Kampung Ara Kuda, Jarak Atas, Padang Menora dan Kampung Tok Saadon dalam keadaan aman.

Namun, kejadian tujuh tahanan meloloskan diri dan dikesan berada di sekitar hutan berdekatan kampung mereka mengubah kehidupan seharian mereka.


Penduduk ditemui mengakui, selepas ketahui kejadian itu mereka kini dibelenggu ketakutan dan bimbang keselamatan diri serta keluarga.

Seorang penduduk Kampung Jarak Atas, Mohamad Tahir Yusof, 64, berkata, dia sekeluarga seramai lima orang berada dalam ketakutan.


“Kampung Padang Cempedak, lokasi penemuan van polis dilarikan itu hanya kira-kira empat kilometer dari rumah saya. Saya bimbang selagi tahanan itu belum ditangkap.

“Saya terpaksa minta ahli keluarga kunci pintu dan tutup tingkap kerana bimbang didatangi tahanan terbabit yang mungkin bertindak ganas dalam usaha selamatkan diri,” katanya.

Peniaga, Siti Hajar Awang, 31, dari Kampung Ara Kuda berkata, suaminya, Mohd Ridzuan Mohamad, 32, berpesan supaya sentiasa pastikan rumah berkunci ketika keluar atau berada di rumah.

“Saya terpaksa tinggalkan tiga anak berusia dua hingga lapan tahun di rumah saudara semasa berniaga kerana bimbang keselamatan mereka.

“Kawasan hutan di belakang rumah saya lokasi tumpuan polis menjalankan gerakan menjejaki tahanan terbabit semalam membuatkan saya perlu berwaspada,” katanya.

Pekerja Ladang Mayfield bersebelahan Kampung Ara Kuda, T Shanti, 48, turut melahirkan kebimbangan selepas kejadian itu kerana tahanan terbabit dikatakan bersikap bengis.

“Saya perlu mengambil langkah keselamatan terutama apabila mengetahui mereka masih bebas. Saya rasa lebih selamat ke ladang kelapa sawit yang terletak berhampiran secara berkumpulan,” katanya.

Rakannya, K Kamalachi, 52, mula mengurangkan aktiviti di luar rumah sejak kelmarin dan memastikan tiga anaknya berusia 12 hingga 17 tahun bermain tidak jauh dari pandangannya sebagai langkah keselamatan.

Kelmarin penduduk kampung berkenaan gempar apabila mengetahui polis menjalankan gerakan besar-besaran memburu tujuh tahanan yang melarikan diri semasa diiringi dari Penjara Pulau Pinang untuk didakwa di Mahkamah Butterworth.

Mereka bertambah risau apabila tahanan terbabit dikesan menjadikan hutan di sekitar kampung itu sebagai tempat persembunyian.

Bagaimana pun, kehadiran polis sejak pagi kelmarin melakukan rondaan melegakan mereka.

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top