Faralyna sudah jarang bertemu dengan kekasihnya, Hairul kerana kesibukan masing-masing dengan komitmen lakonan.
PETALING JAYA: Pelakon Faralyna Idris berkata dia berasa bertuah kerana keluarganya tidak pernah mendesak untuk dia dan kekasihnya iaitu aktor Hairul Azreen segera berkahwin.
Aktres berusia 21 tahun ini berkata, orang tuanya tidak pernah memaksa mereka mendirikan rumah tangga dalam tempoh tertentu walaupun hubungan mereka sudah mencecah empat tahun.
“Saya amat bertuah kerana orang tua terutamanya bapa begitu memahami. Memang ada juga bapa saya bertanya sekali-sekala tetapi dia faham kerjaya kami sedang berkembang.
“Yang penting, keluarga tidak pernah mendesak kami agar segera berkahwin,” katanya.
Ditanya adakah dia dan Hairul menetapkan tempoh tertentu bagi mendirikan rumah tangga, Faralyna berkata, perkara itu masih jauh dalam perancangan kerana kerjaya lakonannya sedang meningkat naik pada waktu ini.
Faralyna berbangga dengan kerjaya Hairul yang kian berkembang pada tahun ini.
“Untuk kami berkahwin, mungkin lama lagi kerana kerjaya Hairul sedang meningkat sekarang.
“Sudah lama dia berusaha dan baru kini dia menikmatinya, jadi biarlah dia kukuhkan kerjanya dahulu,” ujar pelakon drama bersiiri Debunga Lalang ini.
Tambah Faralyna, kesibukan jadual lakonan masing-masing pada kebelakangan ini membuatkan mereka sudah jarang bertemu berbanding sebelum ini.
“Mujurlah kami rapat dengan keluarga satu sama lain. Kalau saya ada waktu lapang, saya akan meluangkan masa dengan keluarga Hairul dan begitu juga sebaliknya,” jelasnya.
Mengenai persaingan sengit dengan aktres-aktres baru pada hari ini, Faralyna berkata, senario itu tidak menggugatnya secara peribadi kerana kerjayanya masih berjalan dengan lancar selepas lima tahun bergelar anak seni.
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda