Kumpulan sindiket gores dan menang setia menunggu mangsa di kawasan Pasar Besar, Kuantan.


KUANTAN - Kegiatan gores dan menang yang makin berleluasa di bandar ini kini menjadikan kawasan Pasar Besar Kuantan sebagai lokasi baru mencari mangsa.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, terdapat kira-kira tujuh lelaki setia menunggu mangsa untuk menawarkan ‘hadiah’ lumayan dan istimewa.

Dalam pemerhatian selama satu jam di kawasan tersebut didapati, lelaki terbabit cuba mendekati orang ramai dan menawarkan pakej hadiah yang ada.


Dua lelaki daripada kumpulan sindiket gores dan menang mendekati seorang pengguna di kawasan Pasar Besar, Kuantan.


Seorang kakitangan awam, Mohd Ibrahim, 40, berkata, dia mula menyedari kehadiran kumpulan itu sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, walaupun tidak pernah terkena, namun dia bimbang sekiranya orang ramai terutama warga emas termakan pujukan mereka dan ditipu.



“Mereka berada di situ dalam tempoh yang agak lama iaitu dari pagi sehingga jam 3 petang.

“Mungkin mereka merasakan kawasan pasar tempat strategik untuk mencari mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi suri rumah, Siti Aisyah Abdul, 35, pula terkejut dengan kegiatan gores dan menang yang terdapat di situ.

Katanya, biasanya kumpulan terbabit menjadikan kawasan letak kereta di sebuah pasar raya sebagai tempat tumpuan.

“Saya harap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kegiatan itu kerana bimbang ramai yang terpedaya.

“Walaupun sudah banyak kes penipuan membabitkan gores dan menang, namun masyarakat kita kadang-kadang mudah terpengaruh apatah lagi dikatakan memenangi hadiah lumayan seperti kereta dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, kegiatan gores dan menang bergerak aktif di kawasan letak kereta Kuantan Parade.

Walaupun pihak berkuasa sudah melakukan pemantauan dan menampal poster bagi menghalang kegiatan itu, namun mereka seperti tidak serik dan terus memperdaya orang ramai.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Mohd A Aruwan Ab Aziz berkata, pihaknya belum menerima sebarang aduan mengenai kegiatan sindiket berkenaan di lokasi baru itu.

Bagaimanapun kata Mohd A Aruwan, pihaknya tidak menolak kemungkinan kumpulan terbabit menukar modus operandi ke kawasan Pasar Besar Kuantan selepas lokasi tumpuan iaitu di kawasan letak kereta Kuantan Parade sering dipantau pihak berkuasa.

“Mereka tidak akan terlepas walaupun sudah mempunyai lokasi tumpuan baru kerana kita mengadakan pemantauan setiap hari.

“Justeru, saya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran hadiah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai perlu bijak menilai dan berfikir secara logik sebelum membuat keputusan menerima tawaran terbabit.-sinar harian

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top