Dakwaan blog fitnah saya, kata Tuan guru
KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan pendedahan sebuah blog yang menuduh beliau melakukan rasuah pada tahun 2008 melibatkan habuan tanah bernilai lebih RM30 juta.
Nik Abdul Aziz menegaskan kenyataan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan disifatkan sebagai fitnah yang dilemparkan terhadap diri beliau semata-mata.
Sehubungan itu, beliau yang juga Mursyidul Am Pas mengarahkan pegawainya mempertimbangkan perkara tersebut untuk dibawa ke mahkamah.
"Saya sudah baca laporan yang dibuat dalam akhbar mengenai tuduhan kepada saya mengenai rasuah tanah dan semuanya sekali. Sebenarnya benda ini fitnah.
"Saya harap pegawai saya mempertimbangkan semua untuk ke mahkamah dan mudah-mudahan ALLAH menjelaskan perkara yang sebenar," katanya kepada media ketika ditemui di JKR 10 di sini, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas pendedahan sebuah blog yang mendakwanya menawarkan tanah seluas 4,259.9 hektar di Relai, Chiku, Gua Musang kepada Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Setiausaha, Nga Kor Ming untuk menerima wakil Pas, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak pada 2008.
Terdahulu beliau menerima kunjungan daripada 60 anak-anak Kelantan yang berada di Sabah.
Laporan blog itu mendakwa tawaran tanah bernilai lebih RM30 juta itu berlaku ketika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).
Mengulas lanjut tuduhan tersebut Nik Aziz memberitahu dakwaan salah guna kuasa terhadap beliau itu dilakukan oleh orang-orang yang jahat.
"Kerja memfitnah ini dilakukan oleh orang jahat. Kerja orang yang jahat ini adalah mereka yang memuja nafsu dan bukannya puja ALLAH SWT.
"Sebab itu saya sebut kalau berita yang dikeluarkan oleh akhbar terbabit kita kena berhati-hati," katanya.-sinar harian
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda