Fathul Bari
Umar Al-Khatthab RA pernah menyebut, “Sesungguhnya kami merupakan kaum yang ALLAH muliakan dengan Islam dan kami tidak memerlukan kemuliaan selain daripadanya (Islam).” Punca dan faktor perpecahan yang berlaku ada banyak.
Antaranya adalah sunnatullah (ketentuan dan ketetapan ALLAH). Buktinya sabda Nabi SAW, “Umatku akan berpecah menjadi 73 kelompok. Semuanya di dalam neraka kecuali satu.” Sahabat bertanya, “Siapakah dia (satu kelompok yang terselamat) wahai Rasulullah?” Jawab Rasulullah, “Mereka adalah orang-orang yang semisal dengan apa yang aku dan sahabatku berada di atasnya pada hari ini.” (riwayat Abu Dawud no. 4596, Tirmidzi no. 2640, Ibnu Majah no. 3991, Ahmad 2/332).
Dalam riwayat lain, sabda Nabi SAW, “Sesungguhnya syaitan telah berasa bosan (putus asa) untuk menjadikan mereka disembah di Tanah Arab, tetapi syaitan akan memecah-belahkan di antara mereka.” (riwayat Imam Muslim, no 2812 dari sahabat Jabir bin Abdillah RA)
Sabda Nabi SAW adalah benar dan pasti terjadi. Kita lihat masyarakat Arab hari ini benar-benar berpecah.
Sebab itu kata Nabi dalam hadis, “Hampir sahaja umat ini (umat Islam) akan diserang oleh golongan kuffar yang membenci Islam sama seperti orang yang lapar menuju kepada pinggan yang dihidangi dengan makanan. Sahabat Nabi bertanya, ‘Adakah kami pada ketika itu berada dalam kelompok yang kecil sehingga kami diserang sedemikian rupa?’
Jawab Nabi SAW, ‘Tidak, bahkan kalian ramai jumlahnya tetapi kalian ibarat buih di lautan (tidak bermanfaat). Pada hari itu ALLAH tanggalkan dari hati musuh-musuh perasaan hormat kepada kalian dan ALLAH campakkan ke dalam hati kalian penyakit al-wahn.’ Sahabat bertanya, ‘Apakah itu al-wahn?’ Kata Nabi, ‘Cintakan dunia dan takut mati.’” (riwayat Abu Dawud)
Musuh yang benci pada Islam pada hari ini tidak lagi menghormati sensitiviti umat Islam, buktinya mereka tidak gerun untuk mengeluarkan filem seperti Innocence of Muslim dan Fitna; mengeluarkan tulisan Irshad Manji; menyebarkan perkataan-perkataan yang menjurus kepada liberal dan plural; berani mengeluarkan tulisan Salman Rushdie dan sebagainya.
ALLAH cabutkan perasaan gerun dan hormat mereka terhadap umat Islam setelah umat Islam diserang penyakit cintakan dunia, dan takut kepada kematian. Ini adalah antara puncanya.
Kalau kita hendak bercakap punca perselisihan umat Islam pada hari ini; punca isu akidah, mazhab, perselisihan pendapat yang tidak ditangani dengan adaabul ikhtilaf (adab dalam berselisih), perbezaan politik, dan sebagainya.
Apabila melihat orang lain berbeza dengannya maka segelintir umat Islam terus mengatakan golongan itu sesat, kafir, dan bodoh. Ini masalahnya apabila manusia tidak menanganinya dengan adab dan kaedah yang betul.
Perselisihan politik pada hari ini sangat kronik sehingga sesetengah pihak menjadikan agama sebagai satu alat untuk mendapatkan sokongan, kuasa politik dan seumpamanya. Ini tidak boleh, sebaliknya kepentingan agama perlu didahulukan melebihi kepentingan politik.
Perpecahan dari sudut akhlak dan sikap, sangat banyak untuk dihuraikan secara detail. Tapi itulah antara faktor dan sebabnya; iaitu kelemahan umat Islam disebabkan mereka memilih sesuatu selain daripada Islam, dan mereka menginginkan kemuliaan selain daripada tunduk kepada agama mereka sendiri, serta cinta kepada dunia.-sinar
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda