Aishah melayan anak tunggalnya yang menghidap penyakit ketumbuhan di kepala sejak dalam kandungan.


ALOR GAJAH - “Bila doktor beritahu kandungan saya tidak normal saya terus tersentak, dalam hati hanya berserah pada ALLAH atas ketentuan-Nya,” kata Nurul Aishah Zakaria, 26, ibu kepada, Muhammad Rizqhan Herman, 6 bulan, yang menghidap sejenis penyakit ketumbuhan di kepala yang membesar.

Aishah yang tinggal di Taman Paya Rumput, Masjid Tanah, di sini, berkata, ketika itu dia sedang mengandung lima bulan sebelum doktor mengesahkan kandungannya berisiko tinggi.


“Hasil pemeriksaan kandungan yang dilakukan sekitar November tahun lalu, doktor menyatakan kelahiran bayi perlu dilakukan melalui proses pembedahan berikutan penyakit pada bayi.

“Dengan kekuatan yang ada, saya mengumpul semangat yang hampir hilang ini dan bertekad membesarkan anak yang saya kandungkan itu bersama suami (Herman Hamdan, 29), " katanya.

Menurutnya, pada mulanya suaminya seperti tidak dapat menerima kenyataan itu selepas dimaklumkan berita itu namun, semuanya dapat diatasi sehinggalah Muhammad Rizqhan dilahirkan

"Kami bersyukur apabila anak sulung saya ini berjaya dilahirkan melalui pembedahan,  namun, memerlukan rawatan ulangan di Hospital Melaka (HM).

“Pada mulanya memang sukar untuk menerima hakikat namun, ia sudah menjadi perkara biasa dan kami gembira menerima rezeki yang dianugerahkan kepada kami, " katanya.

Aishah berkata, selepas beberapa kali mendapatkan rawatan di HM, anaknya dirujuk pula di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Anak saya kurang meragam cuma kerap buang air kecil dan merengek biasa pada waktu malam dan kami memerlukan lampin pakai buang yang banyak namun tidak berkemampuan.

“Saya hanya suri rumah, suami pula bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan RM500 sebulan. Kami juga terpaksa menumpang di rumah ibu bapa kami bagi meringankan beban,” katanya.

Ibunya, Mariam Md Zin, 54, berkata, dia gembira menerima kelahirannya cucu itu namun terkejut setelah dimaklumkan dia mengalami penyakit kepala membesar.

“Saya harap sangat penyakit cucu saya itu dapat pulih sebab saya tidak sanggup mendengar rengekan cucu setiap malam kadang kala menitis air mata tapi apakan daya.

“Bagi kita yang melihat keadaan kepalanya yang membesar mungkin tidak terasa apa-apa tapi bagi yang menanggung penyakit berkenaan sudah tentu sebaliknya,” katanya.-sinar

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top