Tinggal dua bulan sahaja lagi, pelakon jelita, Memey Suhaiza, akan mengecapi saat-saat manis bergelar ibu. Bersyukur di atas kurniaan tersebut, Memey mengharapkan segalanya berjalan dengan baik.

Bagi Memey, kelahiran cahaya mata sulungnya itu melengkapkan statusnya sebagai seorang wanita dan isteri kepada Norman Hakim.

“Alhamdulillah, siapa sangka saya bakal memiliki anak secepat ini. Walhal, saya memang berniat untuk mempunyai anak selepas setahun mendirikan perkahwinan.


“Tapi semuanya di tangan Tuhan, dan saya serta abang tidak mungkin menolaknya,” jelas bakal ibu muda ini.

Tambahnya, apabila mengalami sendiri pengalaman mengandung, dia berasa begitu bahagia sekali.


“Semuanya berubah apabila saya sendiri mengalami perkara ini. Mungkin sebelum ini saya tidak begitu teruja tetapi kini sebaliknya.

“Saya adalah orang yang paling gembira. Apa yang penting, saya tidak sabar untuk menatap wajah bayi saya nanti.

Harapan saya, bayi ini sihat seadanya,” ujar Memey.

Dilayan bagai puteri

Berkongsi mengenai kehamilannya, Memey menjelaskan, dia juga tidak terkecuali mengalami alahan seperti ibu mengandung yang lain.

Alahan yang dialaminya agak teruk sehingga menyebabkan berat badannya turun dengan mendadak.

Pun begitu, semua itu bukan halangan baginya untuk meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan.

“Masa disahkan mengandung, saya sedang melakukan penggambaran bagi sebuah drama.

“Macam mana pun kerana tanggungjawab sebagai pelakon saya habiskan juga penggambaran tersebut.

“Nasib baiklah pengarah dan krew faham akan keadaan saya ketika itu,” katanya mengambil keputusan berehat selepas tamat penggambaran terbabit.

Dalam pada itu, beritahu Memey, sepanjang mengandungkan anak sulungnya ini, dia dilayan seperti puteri oleh Norman.

“Walau pun abang sibuk, tetapi dia tetap memberi sepenuh perhatian kepada saya.

“Dia tidak pernah lupa tanggungjawab sebagai suami setakat ini. Lagi pun, dia sudah mempunyai pengalaman sebagai ayah, jadi dia tahu bagaimana menguruskan saya,” katanya mengandung adalah peluang meluangkan masa bersama Norman kerana tidak bekerja.

Tak abai kecantikan

Bakal menimang cahaya mata lelaki, jelas Memey, dia juga tidak lupa mementingkan kesihatan dan telah bersedia menghadapi fasa baru selepas melahirkan anak nanti.

“Memang ramai yang akan mengalami masalah perubahan bentuk badan dan berat badan meningkat selepas bersalin.

“Bagi saya ini bukan satu masalah, yang penting diri sendiri perlu sedar akan hal ini. Lebih-lebih lagi abang sendiri seorang yang mementingkan penampilan dan kecantikan.

“Oleh itu, saya perlu berhati-hati dan mengawal diri,” katanya akan menurunkan berat badan secepat mungkin selepas bersalin.

Kata Memey lagi, Norman juga sentiasa memberi nasihat kepadanya supaya tidak menjadikan alasan baru ‘bersalin’ untuk tampil selekeh dan tidak menjaga bentuk badan.

“Nasib baik abang selalu berikan tunjuk ajar, sekurang-kurangnya dia menyedarkan saya mengenai perkara ini,” katanya tidak terlepas membeli pelbagai keperluan bayi.

Tidak mahu dimadukan

Pernah dihimpit kontroversi satu ketika dahulu ekoran hubungannya dengan bekas suami kepada Abby Abadi ini, Memey berkata, dia gembira kerana hasratnya untuk berbaik dengan aktres Gerak Khas itu akhirnya termakbul.

“Sekarang semuanya sudah baik dan pulih, hubungan saya bersama Kak Abby mahu pun abang dan Kak Abby sendiri telah pun jernih.

“Apa pun itu bukan bererti abang dan Kak Abby akan merujuk semula, cuma kami sudah tidak bermusuh dan bermasam muka lagi,” katanya yang tidak mahu hidup bermadu.

Menyentuh mengenai perkara ini, ujar Memey, dia sudah cukup bahagia dengan kehidupan kini.

“Biarlah apa yang saya miliki kini kekal ke akhirnya. Saya tidak mahu kata-kata orang membuatkan hubungan kami kembali keruh.

“Yang penting saya tahu siapa abang dan Kak Abby,” katanya berterima kasih kerana Abby turut berkongsi pengalaman bergelar ibu dengannya.

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top