Pengorbanan Natasha dan Tania Hudson
SAMBUTAN Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada tanggal 1 Zulhijjah dalam kalendar Islam diraikan dengan penuh kesyukuran dan keinsafan oleh umat Islam di seluruh dunia.
Bagi umat Islam yang terpilih menjadi tetamu Allah, mereka cukup bertuah kerana dapat bersama jutaan lagi umat Islam yang lain mengerjakan ibadah haji di Baitullah, Tanah Suci Makkah sekali gus menunaikan rukun Islam yang kelima itu.
Jika 1 Syawal adalah hari kemenangan umat Islam, Aidiladha atau Hari Raya Qurban pula mengajak kita untuk sama-sama mengingati dan menghayati kisah pengorbanan agung, Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail dalam menunaikan perintah Allah SWT.
Begitulah pengertian sebenar di sebalik sambutan Hari Raya Aidiladha. Sebagai umat Islam, kita juga dituntut untuk melakukan pengorbanan sama ada besar atau mungkin cuma sebesar zarah sekali pun. Besar atau kecil tidak penting asalkan pengorbanan yang dilakukan dengan ikhlas dan mengharap keredaan Allah itu mampu meningkatkan keinsafan dalam diri kita.
Menyentuh mengenai pengertian Aidiladha, model jelita dan pelakon terkenal yang juga pasangan adik-beradik berdarah kacukan Melayu-Inggeris, Natasha dan Tania Hudson juga memiliki pandangan dan pengertian masing-masing.
Tasha tangguh umrah kali kedua
PELUANG menjejakkan kaki buat kali pertama ke Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan umrah pada Mac lalu ternyata meninggalkan kesan yang cukup mendalam dalam diri model, pengacara dan aktres terkenal, Natasha Liana Hudson, 29.
Natasha yang lebih mesra disapa Tasha dan kini bergelar isteri kepada penyanyi dan komposer muzik, Carleed Khaza atau nama sebenarnya Khalid Kamal, 33, mengakui hatinya cukup rindu untuk kembali ke Tanah Suci Makkah buat kali kedua.
“Sebenarnya, pemergian saya ke buat umrah tanpa dirancang sebelum ini. Namun, saya sudah lama impi nak buat umrah dan bila ada rezeki, saya nekad ke tanah suci sendirian mengikut pakej umrah tanpa ditemani mama dan ahli keluarga lain.
“Terus terang, selepas buat umrah kali pertama, saya berasa rindu untuk ke sana semula. Sebagai model, saya pernah melancong ke pelbagai negara di seluruh dunia tapi perasaannya cukup berbeza sama sekali bila kita berada di tanah suci.
“Sukar saya gambarkan perasaan ketika menatap Kaabah buat kali pertama. Bagi saya, ia tempat yang paling tenang di dunia Di situ semua manusia sama di sisi Allah tanpa membezakan pangkat atau darjat mereka,” katanya.
Berkongsi pengalaman ketika di sana, kata Tasha, banyak perkara yang menimbulkan keinsafan dalam dirinya sepanjang di sana.
“Selain dapat pengalaman solat depan jenazah, perkara yang banyak membuka mata saya ialah mengenai teman sebilik yang juga seorang mualaf ketika di sana.
Walaupun baru setahun memeluk islam, banyak ilmu agama yang dia lebih tahu dari kita yang memang sudah dilahirkan sebagai orang islam. Kisah hidupnya juga lebih kurang sama dengan saya yang pernah bercerai sebelum ini.
“Pengalaman lain yang turut menimbulkan kesedaran dalam diri ialah bila saya menangis tanpa henti ketika berdoa di Raudah. Saya tidak kisah dipijak dan dilangkah jemaah lain asalkan saya dapat solat dan berdoa di situ. Saya sangat bersyukur kerana segala ibadah di sana dipermudahkan dan apa yang saya doa turut dimakbulkan Allah,” katanya.
Ditanya bila hatinya benar-benar terbuka untuk berhijab, akui Tasha yang kini mengandung tiga bulan, semuanya bermula sebaik saja dia kembali dari tanah suci.
“Sebaik saja sampai ke rumah, saya menangis kerana merindui tanah suci. Tiga minggu selepas kembali dari tanah suci, saya terus berhijab kerana berasa seperti ada yang tidak kena bila keluar rumah tanpa bertudung. Selepas berhijab barulah saya berasa tenang dan gembira dan perasaannya juga susah saya nak terangkan pada orang.
“Selain itu, saya juga merancang buat umrah kali kedua bersama Carleed tapi ia terpaksa ditangguhkan kerana saya mengandung. Insya-Allah, kami akan ke sana lagi pada tahun depan. Pada masa sama, Carleed juga sudah buat umrah kali pertama sebelum kami berkahwin dulu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, ibu kepada Nessa Helena, 3, yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Wanita sempena Festival Filem Malaysia ke-20 (filem Chermin) ini berkata, rezekinya juga murah dalam bidang pengacaraan, selepas berhijrah, baru-baru ini.
“Saya dapat banyak tawaran mengacara program dengan stesen TV Al-Hijrah, ketika ini. Antaranya, program yang mengupas topik kekeluargaan sebanyak 26 episod, Sembang Santai Cikgu Sidek dengan penampilan penulis terkenal, Profesor Datuk Dr Sidek Baba. Selain itu, ialah program Soal Wanita juga untuk stesen TV Al-Hijrah.
“Saya juga memilih untuk kembali dalam bidang pengacaraan kerana perlu seimbangkan karier dan keluarga selepas berumah tangga. Selain mengacara, saya juga fokus pada bisnes tudung online yang baru diceburi,” katanya.
Korban kambing untuk Tania di Tanah Suci
JIKA Tasha temui ketenangan di Tanah Suci Makkah, adiknya, Tania turut menyimpan hasrat sama untuk menunaikan ibadah umrah sekali gus berhijab bila sampai masanya nanti. Bagi pelakon filem aksi Balistik arahan Silver terbitan Suhan Movies Trading dan Asia Tropical Film ini, dia turut bersyukur dengan perubahan imej kakaknya yang tampil berhijab selepas kembali dari Tanah Suci.
“Sepanjang buat umrah, Tasha selalu berhubung menerusi ‘WhatsApp’ dengan saya dari sana. Selain bercerita pengalamannya di sana, dia turut merakamkan suara azan yang berkumandang secara ‘live’ dari tanah suci untuk saya sama-sama menghayatinya.
“Pada mulanya, saya terkejut bila tengok imej baru Tasha yang berhijab bila balik dari umrah. Namun, sebagai adik, saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat karier dan kehidupannya bersama keluarga,” katanya.
Kata Tania, selain Tasha, ibunya, Ratna Hussin juga sudah beberapa kali buat umrah ketika bertugas sebagai pramugari Air Asia dulu.
“Namun, pada tahun ini, baru mama berpeluang buat ibadah haji di tanah suci dan akan kembali ke tanah air pada penghujung November nanti. Mama ke sana bersama dua lagi ibu saudara untuk mengerjakan ibadah yang juga rukun islam kelima itu.
“Lebih bermakna, mama juga buat ibadah korban dengan mengorbankan kambing untuk saya di sana. Insya-Allah, bila ada rezeki, saya berhasrat untuk ke tanah suci bersama mama pula nanti.
“Maklumlah, Tasha sudah berkahwin dan ada komitmen pada anak dan suaminya pula,” katanya yang turut menjadi artis undangan dalam filem komedi Mana Mau Lari arahan Profesor Madya A Razak Mohaidden.
Mengenai sambutan Aidiladha tahun ini, Tania berkata, dia akan beraya di rumah nenek di sebelah ibunya di Tapah, Perak.
“Saya akui memang sunyi bila menyambut raya tanpa mama di sisi. Tapi suasana Aidiladha di kampung tetap meriah apabila kami sekeluarga berkumpul di sana.
“Maklumlah, keluarga mama besar kerana dia memiliki seramai 12 adik beradik.
Bayangkan bila kami semua berkumpul bersama sepupu dan anak-anak masing-masing pasti suasana sambutan Aidiladha di rumah nenek cukup meriah,” katanya.
Sementara itu, Tasha dan Tania juga mengucapkan Selamat menyambut Aidiladha buat semua pembaca setia Rap di luar sana.-hmetro
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda