KUALA LUMPUR: Kenaikan harga ayam kepada RM7 hingga RM7.50 sekilogram tidak membebankan kebanyakan warga kota untuk mendapatkan bekalan bahan mentah itu sempena Aidiladha yang disambut hari ini berbanding harga siling ketika Aidilfitri lalu iaitu RM6.80 sekilogram.

Tinjauan Harian Metro di beberapa pasar awam sekitar ibu kota termasuk di Pasar Chow Kit mendapati rata-rata pengunjung berpuas hati dengan harga berkenaan ketika ini selain menyifatkan kenaikan itu perkara biasa menjelang musim perayaan.

Selain itu, harga sayur-sayuran dan ikan juga tidak mengalami sebarang perubahan. walaupun ada pihak mendakwa harga bagi barangan itu akan naik berikutan musim hujan sejak beberapa minggu lalu mungkin akan mengurangkan bekalan di pasaran. Bagi peniaga pula, mereka tidak menghadapi masalah mendapatkan bekalan daripada pemborong meskipun berlaku sedikit kenaikan dalam kos pengeluaran ayam akibat kenaikan harga makanan ayam diimport dari luar negara.

Peniaga ayam segar, Mohd Nazri Mohd Yunus, 32, berkata dia bernasib baik kerana pembekalnya bukan saja tidak menaikkan harga ayam malah menurunkan sedikit harganya membolehkan dia menjualnya pada harga RM7 sekilogram.


“Sambutan pelanggan juga amat menggalakkan walaupun harga ayam Aidilfitri lalu lebih murah berbanding ketika ini. Lebih 500 ekor ayam di gerai saya dapat dijual sejak semalam (kelmarin),” katanya.

Bagaimanapun, bagi peniaga ayam, Azlan Sidi, 35, permintaan terhadap ayam menjelang Aidiladha tahun ini agak berkurangan berbanding tahun lalu dan mengakui peniaga sepertinya berdepan masalah sama.

“Tahun lalu permintaan terhadap ayam amat tinggi hingga mencecah lebih 1,000 ekor manakala ayam pencen pula mencecah 1,500 ekor. Sehingga jam 11 pagi tadi (semalam) ayam yang terjual hanya kira-kira 400 ekor saja,” katanya.

“Permintaan pembeli semakin kurang mungkin kerana ramai di antara mereka yang lebih gemar membeli ayam di pasar raya besar sekitar bandar raya,” katanya.

Sementara itu, bagi peniaga kelapa dan santan, Azlan Shah Ismail, 26, permintaan terhadap bahan itu agak berkurangan walaupun dijual pada harga sama tanpa sebarang peningkatan iaitu RM6 sekilogram bagi santan dan kelapa sekitar RM2 hingga RM2.50 setiap biji. “Keadaan amat berbeza tahun lalu apabila 2,400 biji habis dijual sehari sebelum Aidiladha namun kali ini walaupun bekalan sebanyak 2,000 biji pun hanya separuh daripadanya yang dapat dijual,” katanya.

Pengguna, Abdul Rahman Abd Karim, 56, berkata walaupun berlaku kenaikan harga barang keperluan seperti ayam sekitar 20 sen hingga 50 sen, ia tidak menjejaskan peruntukan perbelanjaannya untuk sambutan Aidiladha.

“Biasalah ada turun naik harga, namun tidaklah terlalu mendadak hingga menjejaskan pengguna. Malah harga kebanyakan barangan keperluan lain seperti sayur dan ikan juga jauh berbeza,” katanya.

Bagi Maznah Yahya, 46, dia berpuas hati kerana rata-rata peniaga tidak menaikkan harga barang sesuka hati malah jika ada kenaikan sekali pun ia tidak terlalu ketara.

“Walaupun harga barangan keperluan seperti ayam agak mahal di pasar, saya lebih gemar membeli di sini kerana lebih segar berbanding di pasar raya besar. Memanglah pasar raya besar sering membuat promosi dan harganya jauh lebih murah tapi kesegarannya tidak terjamin,” katanya.

Nick Noornazeela Zaidi, 27, pula berkata walaupun harga sesetengah barangan naik, orang ramai tetap membeli barangan terbabit berikutan ia keperluan dalam kehidupan seharian dan menggalakkan orang ramai berbelanja secara berhemah.-hmetro

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top