Dia lelaki terbaik pernah saya kenal
SIAPA tidak rimas andai orang sekeliling asyik bertanya, bila mahu tamatkan zaman bujang? Apatah lagi usia kian meningkat, suka atau tidak situasi itu pasti menggugat ketenteraman fikiran.
Lebih menyesakkan dada andai perhubungan yang diharap berkesudahan dengan ikatan perkahwinan, belum menampakkan sinar. Saban hari isu sama dibangkitkan hingga terasa bagaikan tiada ruang untuk bernafas.
Begitulah dilema menghantui si manis Zarina Zainoordin, 28. Meskipun ada insan istimewa di hatinya kini, belum ada kepastian sama ada ikatan yang berbunga indah itu bakal tersimpul rapi dengan ikatan sah.
Melihatkan ramai teman sudah berumah tangga dan bahagia bersama zuriat masing-masing, tersirat pelbagai rasa di sanubari. Pun begitu, dia berpegang pada ketentuan qada’ dan qadar, barangkali belum sampai masanya mengecapi nikmat perkahwinan.
“Bohonglah kalau saya tak terasa apa-apa bila seorang demi seorang kawan melangkah ke jenjang pelamin. Jujur, saya sendiri tak sangka pada usia begini belum mendirikan rumah tangga.
“Lebih tertekan bila orang asyik tanya bila nak kahwin. Masalahnya bukan saya tak nak kahwin tapi belum ada jodoh. Sebelum ini pun bukan saya tak pernah bercinta tetapi terputus di tengah jalan.
“Mungkin sikap saya yang terlalu berdikari dan tegas menjadi penyebab mengapa hubungan tak bertahan lama. Lelaki yang mahu hidup dengan saya perlu kuat daya ketahanan mentalnya,” kata Zarina ketika ditemui di lokasi penggambaran drama Mimpi Cinderella yang kini bersiaran menerusi slot Lestary di TV3 setiap Selasa, jam 9 malam.
Ditanya bagaimana perkembangan hubungan cintanya dengan seorang pendatang baru yang kian popular, tanpa berselindung si manis yang bakatnya dicungkil menerusi pentas Akademi Fantasia ini memaklumkan, dia bahagia di samping jejaka itu.
Bagaimanapun aktres dan penyanyi ini enggan mendedahkan siapakah gerangan jejaka yang bertakhta di hatinya kerana berpendapatan, lebih manis jika si uda yang buka mulut terlebih dulu.
Biarpun SELEBRITI sedia maklum dengan siapa dia berkongsi kasih kini, gadis bermata galak ini memohon agar nama itu tidak didedahkan demi menghormati kerjaya jejaka itu yang kian bersinar.
“Saya percaya ramai di kalangan teman dalam industri sudah tahu dengan siapa saya berkawan. Kalau untuk diuar-uarkan, biarlah ia dari mulut dia. Saya rasa itu lebih molek dan manis. Lagipun saya tak mahu kisah cinta kami lebih diperkatakan sedangkan apa yang lebih penting untuk difokuskan adalah kerjanya.
“Apa yang boleh saya kongsi di sini, kalau ikut hati saya malas nak bercinta lagi. Pada usia begini, kalau bertemu yang sesuai terus kahwin. Tapi saya kena ambil kira keadaan dia malah soal jodoh tidak boleh didesak.
“Dia masih muda dan kerjayanya sedang berkembang. Saya yakin dia ada masa depan yang cerah dalam bidang lakonan. Saya bertuah bertemunya. Biarpun lebih muda daripada saya, dia matang bahkan tidak keterlaluan jika saya katakan dia adalah lelaki yang terbaik saya jumpa setakat ini.
“Keluarganya pun menerima saya dan merestui hubungan kami, begitu juga dengan keluarga saya. Buat masa ini, biarlah dia tumpukan perhatian terhadap kerjayanya dulu dan saya percaya kalau sudah tertulis kami akan bersatu sebagai suami isteri, harinya akan tiba juga satu hari nanti,” katanya tenang.
Mengenai kelebihan bintang muda ini hingga mampu menambat hatinya, sambil tersenyum bahagia Zarina sedia berkongsi cerita. Katanya, dengan dewa arjuna itu dia bebas menjadi diri sendiri. Sikap terbuka itu membuatkan dia rasa cukup selesa berada di sampingnya.
“Orangnya tidak banyak cakap dan saya pula banyak mulut. Dia juga tidak cerewet dan tidak mengongkong pergerakan saya. Kami jarang dapat keluar bersama berikutan masing-masing sibuk dengan penggambaran.
“Kalau sekali jumpa, macam-macam cerita kami kongsi dan dia seorang pendengar yang setia. Saya suka sikapnya yang ‘cool’. Bila beri pandangan atau pendapat, terserlah kematangannya,” katanya yang anggun dengan solekan jurusolek profesional, Kasih Cicie.
Meryl Streep inspirasi Zarina
ZARINA mampu tersenyum lega apabila jadualnya padat sejak awal tahun. Tiada masanya untuk menikmati cuti panjang kecuali Hari Raya Adilfitri lalu, selebihnya hari-hari yang dilalui dihabiskan di lokasi penggambaran.
Meskipun penat, dia gembira semakin ramai penerbit serta pengarah mula percaya dengan kemampuannya menjayakan pelbagai watak.
“Dulu orang tak perasan kehadiran saya. Malah ramai tanya saya berlakon apa biarpun ketika itu drama saya ditayangkan di TV. Bagaimanapun, sejak menjayakan siri seram Puaka Niyang Rapik pada 2008, persepsi orang ramai terhadap kemampuan saya mula berubah. Malah nama saya semakin menyerlah apabila drama Syurga Mu Ramadan ditayangkan.
“Beberapa drama selepas itu termasuklah Ameera menjadikan langkah saya lebih panjang. Dan terbaru, saya diberi kepercayaan melakonkan watak majikan yang digeruni dalam Mimpi Cinderella.
“Menerusi watak Lorna, saya dikehendaki tampil seperti watak Miranda Priestly lakonan aktres tersohor, Meryl Streep dalam filem The Devil Wears Prada. Sangat teruja kerana itu adalah watak yang saya idamkan selama ini. Saya jadikan filem itu sebagai rujukan dan apabila beraksi depan kamera, saya bawa ikut cara saya.
“Untuk hidupkan karakter ini, saya kena faham dialog dan lontarkan dengan penuh yakin. Begitu juga dengan gerak tubuh, barulah penonton percaya Lorna bos yang garang dan digeruni anak buahnya.
“Demi watak ini, saya sanggup berhabis kira-kira RM4,000 untuk beli baju dan kasut. Mujur Cicie ada. Dialah yang bantu saya belikan yang sesuai. Pendek kata, dia bukan saja orang yang bertanggungjawab menyolek saya bahkan banyak berjasa dalam memastikan penampilan saya kena dengan watak Lorna,” katanya.
Siri terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd ini turut dijayakan Iena Azman, Afiq Muiz dan Aida Khaleeda. Ia mengisahkan Saleha (Eina Azamn) selalu dibuli ibu tiri (Sharifa Shahora) dan dua adik tirinya, Iza dan Ita.
Saleha mengimpikan hidup senang di bandar dan dia bekerja dengan Cik Lorna (Zarina). Lorna tidak suka gaya Saleha yang kekampungan dan mengupah pembantunya, Lokman untuk mengubah penampilan Saleha. -mymetro
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda