'Si Tanggang Moden' Akhirnya Terima Hukuman | KUALA TERENGGANU – “Yang Arif, saya ingin bertanya adakah dia (Nasrun) bersalam memohon maaf di hadapan Yang Arif kerana benar-benar insaf atau sekadar lakonan di dalam mahkamah?

“Yang Arif, kalau dia betul-betul ingin minta maaf, kenapa sepanjang kami bertemu di mahkamah ini tadi, dia langsung tak tengok muka saya apa lagi bersalam dengan saya… saya duduk di situ berapa lama, tapi dia buat tak tahu saja… kenapa baru hendak bersalam selepas disuruh oleh mahkamah… saya reda memiliki anak seperti ini, saya reda dia dipenjarakan,” kata Mustafa Ismail, 67, dalam nada hampa.

Mustafa meluahkan rasa kecewa di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, Rosdi Harun, semalam, dalam permohonannya agar memenjarakan anaknya, Nasrun Mustafa, 40, sebagai pengajaran di atas tindakannya mengabaikan nafkah terhadap kedua ibu bapa dan dua anaknya yang dipelihara Mustafa.

Terdahulu, Rosdi memerintahkan agar Nasrun bersalam dengan Mustafa susulan keputusannya mahu memohon maaf daripada bapanya itu, selepas memberi tempoh selama satu jam bagi kedua belah pihak mengadakan perbincangan dan menyelesaikan kes di luar mahkamah.

Rosdi menangguhkan prosiding selepas mendengar alasan Nasrun yang tidak mahu melawan bapanya di mahkamah sebagai jawapan kepada soalan Rosdi yang mahukan penjelasannya mengapa dia tidak pernah hadir ke mahkamah sepanjang prosedur berjalan sejak 2010.

Buat pertama kalinya selepas kes tuntutan nafkah dan saman difailkan Mustafa terhadap anaknya Nasrun pada 2010, pengurus sebuah syarikat cari gali minyak itu muncul di mahkamah semalam, selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya bulan lalu.

Pada prosiding semalam, Rosdi memerintahkan Nasrun yang sebelum ini digelar ‘Si Tanggang Moden’ membayar RM10,000 kepada Mustafa dan ibunya, Che Mariam Abdullah, 59, sebelum jam 3 petang semalam, manakala jumlah yang masih tertunggak iaitu RM11,000 perlu dijelaskan secara ansuran sebanyak RM1,000 sebulan.

Sekiranya Nasrun gagal menjelaskan bayaran berkenaan, Rosdi memerintahkan agar hukuman penjara selama seminggu dikenakan terhadapnya.

Dalam masa sama, mahkamah turut membenarkan Nasrun diikat jamin RM1,000 dengan dua penjamin sementara menunggu tarikh mendengar notis tunjuk sebab untuk membela diri pada 24 November ini, selepas Mustafa memfailkan permohonan supaya Nasrun dipenjarakan kerana gagal melaksanakan perintah mahkamah berhubung pembayaran nafkah bernilai RM18,866.50.

Selain itu, Rosdi berkata, mahkamah tidak berhasrat untuk memanjangkan kes berkenaan dan memohon Nasrun kembali kepada keluarganya dan mengambil berat perihal keluarga termasuk ibu bapa dan dua anaknya berusia 16 dan 18 tahun.

“Saya harap Nasrun kembali kepada keluarga. Permohonan maaf yang dibuat sebentar tadi juga diharap benar-benar ikhlas. Sebab kita kena ingat, tidak akan masuk syurga seseorang yang memutuskan silaturahim apa lagi seorang anak.

“Dalam kes ini, saya tidak dapat tentukan siapa yang benar atau salah, cuma saya harap selepas ini semuanya kembali berbaik.

“Jaga anak kita, kena prihatin, jangan abaikan kedua ibu bapa dan anak-anak hingga mereka tidak kenal siapa ayah mereka. Berkunjunglah ke rumah ibu bapa, adik-beradik, jalinkan semula silaturahim yang terputus sebelum ini,” katanya.

Mustafa dari Kampung Beladau Kolam, Manir,di sini, pernah mendapat liputan meluas media apabila menyaman anaknya itu yang bekerja sebagai pengurus syarikat cari gali minyak di ibu kota dan berpendapatan lebih RM17,000 sebulan bagi tuntutan nafkah dua cucunya.

Pada 28 Ogos tahun lalu, Rosdi memerintahkan Nasrun memohon maaf secara terbuka kepada ibu bapa dan dua anaknya yang ketika itu berusia 17 dan 15 tahun.

Rosdi turut memerintahkan Nasrun membayar RM400 seorang kepada ibu dan bapanya serta dua anaknya setiap bulan, selain RM1,000 untuk perbelanjaan Aidilfitri dua anaknya setiap tahun.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan Nasrun membayar RM18,866.50 kepada kedua ibu bapanya sebagai tunggakan dan perbelanjaan serta teladan kerana tidak pulang ke rumah bertemu anaknya lebih lapan tahun.

Bagaimanapun, disebabkan kegagalan Nasrun membayar nafkah kepada ibu bapa dan dua anaknya, Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya pada 28 Julai lalu.

Mahkamah mengeluarkan waran tangkap itu selepas meluluskan permohonan Mustafa atas alasan Nasrun gagal melaksanakan perintah mahkamah sama untuk nafkah dan perbelanjaan yang dibuat sebelum itu.-sinar harian

Posting Komentar

  1. aduhai tanggang....nasib baik engko tak jadi batu...kalau jadi batu, entah sempat ker tak untk bertobat..

    BalasHapus

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top