Penerbit Filem Hina Rasulullah Tunai Haji Mina – Seorang aktivis anti-Islam yang pernah menerbitkan filem `Fitna’ yang menghina Nabi Muhammad S.A.W, kini menemui ketenangan selepas memeluk Islam dan berpeluang mengerjakan ibadat haji tahun ini.

Arnoud Van Doorn, yang merupakan bekas anggota kumpulan bersikap perkauman iaitu Parti Bebas Geert Wilders di Belanda, memeluk Islam setahun lalu selepas melancarkan propaganda anti-Islam sejak bertahun-tahun lamanya.

Kini, Van Doorn nyata menyesal kerana terlibat dalam penerbitan filem Fitna dan mengambil peluang untuk mengerjakan haji bagi mencuci dosa-dosanya.

“Saya amat berharap agar tangisan penyesalan saya ini akan membasuh dosa-dosa saya itu,’’ katanya.

Jelasnya, beliau kini akan menerbitkan sebuah filem yang menceritakan mengenai kebenaran Islam serta kemuliaan Nabi Muhammad S.A.W.

Menurut Van Doorn, selepas sampai di tanah suci Mekah, dia kini berharap agar dapat menghabiskan banyak masa di Madinah.

“Saya berasa amat malu ketika mengunjungi makam Nabi. Saya malu dengan tindakan saya menerbitkan filem berkenaan dan berharap agar Allah dapat menerima taubat saya ini,’’ katanya.

Van Doorn kini turut mendalami Islam dengan membaca buku mengenainya.

“Terlalu banyak cerita negatif mengenai Islam dan saya merasakan bahawa saya perlu menyiasatnya sendiri bagi mengetahui mengenainya kerana saya bukan jenis orang yang hanya mengikut membuta tuli tanpa kajian,’’ katanya ketika menceritakan detik-detik pengislamannya itu.

Mac tahun lalu ketika beliau mengumumkan telah memeluk Islam melalui twitter, ramai yang menyifatkan bahawa ia hanya satu gurauan.

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top