KESIAN!Dua Beradik Kematian Bapa Didera Oleh 'Kekasih' Ibu Menggunakan Paip Getah (2 GAMBAR) SABAK BERNAM – Seorang lelaki bertindak di luar batas kemanusiaan apabila sanggup mendera dua anak teman wanitanya menggunakan getah paip dan tali pinggang sejak lebih lima bulan lalu di sebuah kampung di Sabak Bernam.

Kanak-kanak perempuan berusia 10 dan 11 tahun yang kematian bapa dua tahun lalu, selain tidak bersekolah dipercayai tinggal serumah dengan suspek berusia 33 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, ibu mangsa berusia 32 tahun yang tidak tahan dengan perangai suspek kemudian menghubungi keluarganya di Cheras bagi mendapatkan bantuan.

“Ibu mangsa yang telah lama memendam perasaan dengan sikap keji suspek mengadu kepada bapanya supaya datang mengambil mereka kerana sudah tidak sanggup melihat anaknya didera lelaki berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Noor Mushar berkata, sebaik menerima panggilan jam 8 pagi itu, bapa wanita yang tiba kira-kira jam 4 petang terus membuat laporan di Balai Polis Sabak Bernam terlebih dahulu sebelum menuju ke rumah suspek.

“Datuk kanak-kanan itu bersama seorang lagi menantunya yang tiba di rumah sewa suspek terkejut apabila mendapati dua cucunya ditinggalkan dalam rumah itu, sementara anak perempuannya dan suspek tiada di rumah.

“Datuk mangsa yang berasa curiga atas perbuatan suspek terus membuat pemeriksaan pada badan kedua-dua cucunya itu dan mendapati terdapat tanda-tanda kanak-kanak itu didera berdasarkan kesan parut,” katanya.

Beliau berkata, polis berjaya menahan suspek kira-kira jam 5 petang sewaktu lelaki itu bersama teman wanitanya itu pulang ke rumah sewa tersebut.

“Suspek ditahan reman selama enam hari bermula hari ini (semalam) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dera tersebut, sementara kedua-dua mangsa dibawa menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam untuk rawatan lanjut sebelum mereka dibenarkan pulang,” katanya.

Menurutnya, hasil semakan polis mendapati suspek sebelum ini mempunyai tujuh rekod lampau iaitu empat daripadanya kes jenayah manakala tiga daripada kes itu melibatkan penyalahgunaan dadah.

Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

‘Pantang salah cakap dia naik tangan’

“Walaupun hati masih sayangkan dia, tapi demi anak-anak saya sanggup korbankan cinta kami, asalkan saya dan anak-anak tak lagi didera,” demikian kata ibu kepada dua kanak-kanak mangsa dera, Aishah (bukan nama sebenar), 32.



Aishah berkata, dia tidak lagi boleh terima Razif (bukan nama sebenar), 33, atas perbuatan yang dilakukannya itu, apatah lagi sudah banyak kali dia ditipu lelaki durjana itu.

Menurutnya, meskipun perasaan sayang terhadap Razif sukar dilupakan, tetapi fikiran warasnya tekad untuk tidak terus hidup dalam kesengsaraan apabila dia dan anak-anak sering menjadi mangsa dera teman lelakinya itu.

“Saya mengaku dia memang panas baran dan kadang-kadang kalau tersalah cakap pun tangan dia akan naik ke muka saya.

“Sampai bila saya boleh bertahan dengan keadaan ini, saya bukan sampah yang boleh dipukul dengan sesuka hati, sebab saya pun manusia biasa ada hati dan perasaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Aishah, dia berkenalan dengan Razif ketika di Cheras sewaktu lelaki itu kerap ke kedai makan ibunya.

“Atas dasar cinta, saya sanggup meninggalkan keluarga dan mengikut dia ke Kota Tinggi sebelum kami berpindah ke Sabak Bernam.

“Pada mulanya, semuanya indah, tapi setelah empat bulan, Razif mula buat perangai apabila sering memarahi saya dan anak-anak dan sudah mula naik tangan dan memukul kami,” katanya.

Menurutnya, dia dipukul lelaki itu jika tidak mendengar kata dan tidak mengikut apa yang diinginkan, selain sering bersikap cemburu jika ada lelaki yang ingin berborak dengannya.

“Saya tak sanggup lagi hidup dengan dia, itu sebab saya dan anak-anak berpakat untuk meminta pertolongan keluarga bagi memisahkan kami.

“Jika dia terlepas sekali pun, saya sudah tak mahu hidup bersamanya lagi, saya sudah serik, cukuplah apa yang dilakukannya atas kami selama ini.

“Saya boleh anggap dia sebagai abang, tapi tak boleh terima kalau dia suami saya,” katanya.

‘Saya takut, tak mahu tinggal dengan papa’

Sementara itu menurut Hawa (bukan nama sebenar), 10, ‘papa’nya sering memukul mereka dua beradik jika gagal menghafaz doa Qunut, tidak solat dan tidak hafal sifir Matematik.

“Papa memang selalu pukul kami berdua, kami memang takut dengan dia, hendak nangis (menangis) kuat-kuat (sekuat hati) pun tak boleh, takut akan dibelasah dengan lebih teruk lagi,” katanya.

Hawa berkata, teman lelaki ibunya itu tidak pernah memikirkan perasaan mereka sekeluarga.

“Saya tak nak tinggal dengan papa, saya takut, saya tak mahu lagi dirotan, dipukul dengan teruk sampai badan rasa sakit.

“Kalau boleh, saya ingin hidup macam dulu, nak ke sekolah macam kawan-kawan lain dan tak sanggup lagi didera dan dipukul oleh papa lagi,” katanya.-mynewshub

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top