Selepas 46 Hari,Masih Lagi enggan Kebumikan Anak
Selepas 46 Hari,Masih Lagi enggan Kebumikan Anak | Ipoh – Bapa remaja yang mati tersepit di tingkap rumah jirannya di Taman Saz, Silibin, di sini, pada 20 Julai tetap bertegas untuk tidak mengebumikan jenazah anaknya walaupun Mahkamah Tinggi Ipoh, di sini, semalam menolak permohonan untuk bedah siasat kedua ke atas mayat remaja itu.
Mohd Damanhuri Mohd Fuad, 50, yang ternyata kecewa dengan keputusan Hakim Datuk Zainal Adzam Abd Ghani, itu sebaliknya meneruskan pendirian untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan di Putrajaya, hari ini.
“Saya kecewa dengan keputusan itu dan sudah berbincang dengan peguam saya untuk memfailkan kes itu ke Mahkamah Rayuan,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan mahkamah, semalam.
Terdahulu, dalam penghakimannya Zainal Adzam berkata, mahkamah menolak permohonan berkenaan tidak mempunyai asas kukuh untuk dipertimbangkan dan akan menjadi satu urusan yang sia-sia jika bedah siasat kali kedua dibenarkan.
Beliau berkata, afidavit pemohon hanya mempertikaikan satu saja punca kematian iaitu kesan lebam pada badan mangsa, sedangkan laporan bedah siasat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menyatakan dua sebab kematian iaitu akibat sesak nafas serta terdapat tiga jenis dadah dalam tubuh mangsa.
Langkah terbaik
Pada masa sama, Zainal Adzam turut meminta peguam pemohon membuat permohonan lebih jelas, tidak mengikut emosi, selain perlu menasihatkan anak guamnya mengenai langkah terbaik yang perlu diambil bagi kes itu.
“Sebagai peguam sepatutnya menasihatkan yang betul kepada anak guam, jangan cepat melatah dan membuat permohonan sesuka hati,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan, Aizam Shaerol, 27, dipercayai sesak nafas selepas gagal meloloskan diri menerusi tingkap berpalang besi di rumah jirannya itu sekitar jam 11 malam, dengan hanya berseluar pendek.
Sehingga kini, jenazah Aizam Shaerol masih ditempatkan di Unit Forensik HRPB, di sini, dan bapanya dikatakan hanya akan menjalankan upacara pengebumian selepas kes itu selesai. – BERITA HARIAN
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda