'Daddy' ada di sana dan masih hidup | “SAYA terasa daddy masih ada di sana. Bila memanggilnya ketika menelusuri kawasan sungai, perasaan saya sebak kerana tak boleh buat apaapa," kata anak mangsa, Noor Amiera Jamaludin.

Walaupun, ayahnya masih belum ditemui sejak operasi mencari dilancarkan Khamis lalu, gadis berusia 20 tahun yang turut serta mencari mangsa masih percaya ayahnya selamat dan masih hidup berpandukan pada gerak hati dan firasatnya.

“Hubungan kami sangat rapat sehinggakan jika daddy sakit, saya juga akan merasai sakitnya. Ada ketikanya daddy sakit pinggang, saya dapat rasakan sakit dan pening kepala, begitu juga jika ibu sakit.

“Sehingga kini saya tidak putus- putus berdoa agar dikuatkan semangat bersama ibu untuk menanti berita baik dan berharap semua usaha termasuk misi mencari membuahkan hasil,” katanya.

Mimpi anak jalan dengan ‘budak’ 

Ibu mangsa, Habibah Jamat, 81, berkata, sebelum kejadian dia ada bermimpi anaknya itu berjalan dengan seorang budak namun riak wajahnya biasa sahaja.

“Ketika itu saya tidak fikir apa-apa sebab memikirkan tiada apa yang berlaku. Namun, esoknya seorang anak memberitahu saya supaya bersiapsiap pergi ke Kuala Selangor sebaik dimaklumkan Jamaludin hilang.

“Kami berdoa supaya Jamaludin dapat ditemui selamat dan jika ditakdirkan dia sudah tiada, kami reda dan menerima seadanya,” katanya yang tenang menunggu di chalet jeti terbabit.

Sementara itu, isteri mangsa, Chek Tom Shaari, 40, berkata, tidurnya sehingga kini tidak pernah lena dan sering terjaga seolah-olah mendengar suara suami sedang memanggil.

“Pernah terlelap seketika, saya mimpi suami masak nasi goreng hangus dan saya marah padanya. Tapi riak mukanya biasa sahaja.

“Rakan-rakan tak putus-putus datang menemani saya sehingga jam 4 pagi. Meskipun, misi mencari dihentikan jam 8 malam, tetapi rakan nelayan meneruskan usaha mencari bermula jam 9 malam.

Saya setia menunggu sampai semua orang keluar dari jeti kerana tidak mahu terlepas apa-apa.

Sekarang ini saya reda dan hanya mahu jumpa dia sahaja,” katanya sebak. Abang mangsa, Kamarudin Abd Gani, 59, berkata, pihaknya mahu operasi mencari diteruskan sehingga Jamaludin ditemui tidak kira dalam keadaan hidup atau sebaliknya.

“Kami reda dengan ketentuan ALLAH. Alhamdulillah, sokongan orang kampung amat baik dan sentiasa membantu termasuk menyediakan empat chalet untuk dijadikan tempat berehat,” katanya.

Operasi diteruskan 

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Selangor Utara, Mohd Zulhilmi Mohd Ridzuan berkata, operasi mencari orang hilang masih diteruskan pada jam 9.15 pagi menggunakan dua anjing pengesan di kawasan darat.

“Anjing pengesan dapat mengesan mangsa dan menemui jejak terakhir di kawasan muara sungai manakala anjing pengesan di air turut diturunkan bersama tiga anggota skuba bomba.

Setakat ini, kami masih belum menemui apa-apa dan masih meneruskan usaha mencari sehingga petang bersama anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Kuala Selangor, polis dan orang awam.

“Mungkin kita akan hentikan operasi berikutan sudah tiga hari dan masih belum menemui apa-apa. Namun, sekiranya ahli keluarga mahu operasi diteruskan, kita boleh lanjutkan sehingga hari ketujuh. Usaha mencari akan diteruskan di kawasan pesisiran pantai selepas usaha mencari di kawasan hutan paya bakau dan muara menemui jalan buntu,” jelasnya.-sinar harian

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top