Jamalul: Esmail tiada mandat bincang undur dari Sabah
Jamalul: Esmail tiada mandat bincang undur dari Sabah | MANILA – Jamalul Kiram III, yang mengisytiharkan dirinya Sultan Sulu, mendakwa beliau menentang pertemuan antara Esmail Kiram III dan Kerajaan Filipina bagi menyuraikan konflik di timur Sabah.
Jamalul memberitahu media beliau tidak membenarkan sama sekali Esmail membincangkan isu pengunduran tenteranya dengan Setiausaha Negeri dan Kerajaan Tempatan, Mar Roxas.
Beliau turut terkejut mengetahu Esmail bertemui Roxas dan membincangkan isu pengunduran.
Roxas sebelum ini turut berkata pertemuan dengan Esmail memberi tumpuan kepada cara untuk mengadakan gencatan senjata kepada pengikut Kiram yang kini berada di Sabah.
“Saya hanya tahu yang Esmail hanya bercakap dengan Roxas tetapi sebarang perkataan ‘pengunduran’ tidak diketahui sama sekali,” katanya.
Jamalul mendakwa Esmail hanya bertindak sendiri, di luar pengetahuannya.
Beliau menambah, berundur bukanlah cara terbaik bagi menyelesaikan konflik yang sedang berlaku di Sabah sambil berkata beliau perlu berunding dengan Agbimuddin bersama 200 pengikutnya yang sedang berada di zon konflik.
Jamalul turut menegaskan yang pihaknya masih terbuka untuk melakukan rundingan.
“Dari awal lagi, pintu rundingan sentiasa terbuka,” tambahnya.
Walaupun tidak berpuas hati berhubung pertemuan Esmail dengan pihak kerajaan, beliau menegaskan, keluarga mereka masih lagi bersatu.
“Saya ingin memberitahu semua orang yang tidak berlaku perpecahan di kalangan kami. Kami bersatu,” katanya.
Beliau turut menambah yang Agbimuddin ada menghubunginya 6 pagi kelmarin sambil memberitahu dirinya dan pengikut yang lain berjaya melarikan diri daripada diserang pihak berkuasa Malaysia minggu lepas.
Sementara itu laporan lain menyebut pasukan keselamatan di Malaysia mungkin menghadapi tuduhan melakukan jenayah kemanusiaan kerana melakukan pencabulan hak asasi manusia.
Ketua Pusat Undang-Undang Antarabangsa, Harry Roque berkata, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh menghadapi tuduhan berkenaan, ia perlu dibuktikan juga yang pemimpin itu sedang melakukan penyalahgunaan kuasa terhadap rakyat Filipina dan tidak melakukan sebarang langkah untuk menghentikan keganasan tersebut.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib bagaimanapun telah menafikan penderaan dilakukan oleh pasukan keselamatan Malaysia di Sabah.
Portal philstar.com memetik Roque berkata, Malaysia harus berfikir dua kali sebelum meneruskan tindakan ke atas rakyat Filipina.
Menurut Roque, undang-undang antarabangsa akan menghukum terutama sekali jika serangan dibuat ke atas orang awam.
“Ini dikenali sebagai jenayah kemanusiaan. Ia tidak seperti jenayah perang kerana jenayah kemanusiaan ini tidak memerlukan sebarang pertalian konflik senjata.
Cukup dengan tindakan tidak berperikemanusiaan sama ada dengan cara tangkapan atau rawatan tidak berperikemanusiaan,” ujarnya.-sinar harian
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda