Wong menceritakan ketelanjurannya menghantar gambar bogel di internet kepada Fook Chye, semalam.
KAMPAR – Tindakan menyerahkan gambar bogel kepada seorang wanita yang baru dikenalinya melalui laman sosial WeChat akhirnya menjerat diri sendiri apabila dia menjadi mangsa ugutan.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Wong, 20, berkata, dia mengenali wanita tersebut beberapa hari lalu sebelum bertukar maklumat dan berbual di internet.
Katanya, dia tertarik untuk mengenali wanita terbabit yang mempunyai wajah persis artis Hong Kong berdasarkan gambar profilnya.
“Ketika berbual, kami berjanji untuk saling bertukar gambar bogel sekadar untuk berseronok. Selepas saya serahkan gambar bogel saya, wanita terbabit enggan menunaikan janji menghantar gambar bogelnya pula.
“Bimbang perkara ini diketahui oleh ahli keluarga, saya merayu kepada dia untuk serahkan kembali gambar itu tetapi dia beri pelbagai alasan tidak munasabah,” katanya selepas membuat aduan kepada Adun Keranji, Chen Fook Chye di sini.
Menurutnya, wanita terbabit mengarah untuk bertemunya di Ipoh dan memaksa membayar wang berjumlah RM500 jika tidak mahu gambar bogelnya disebarkan melalui internet.
“Wanita terbabit turut memaksa saya memuaskan nafsunya jika mahu gambar saya dikembalikan. Tidak berakhir di situ, saya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa bapa wanita terbabit.
“Lelaki itu mendakwa saya sengaja hantar gambar lucah pada anaknya selain mengugut membuat laporan polis.
Saya tertekan dan takut,” katanya.
Wong berkata, dia membuat laporan di Balai Polis Kampar setelah tidak tahan dengan ugutan wanita terbabit.
“Saya bimbang gambar bogel saya akhirnya tersebar di internet. Saya menyesal dengan tindakan tidak bijak saya ini,” katanya.-sinar harian
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda