Minggu lalu industri hiburan gempar apabila pelakon kontroversi Indonesia, Julia Perez (Jupe) dikatakan sengaja bikin panas kerana mengkritik kualiti drama Malaysia.

Berang dengan kenyataan Jupe, Pengerusi Persatuan Seniman, Zed Zaidi telah membangkitkan isu permit pelakon dan penyanyi itu.

Ini kerana Jupe dikatakan tidak memiliki permit ketika membintangi filem Sentuhan Malam Pertama arahan Murali Abdullah, baru-baru ini.


Berhubung dakwaan tiada permit, bercakap kepada Harian Metro, Ketua Perniagaan dan Pemasaran, Nusantara Seni Karya Sdn Bhd (NSK), Sofiyant Rahman menjelaskan terdapat salah faham diantara pengurusan produksi dengan kru di lokasi pengambaraan.



“Sepatutnya, kehadiran Jupe ke sini untuk tujuan perbincangan dan berkenalan dengan pelakon tempatan yang turut berlakon dengannya.


“Menerusi perbincangan dengan rakan kongsi di Indonesia, kami memang berhasrat membawa seorang artis di negara itu berlakon di sini dan Jupe calon yang dipilih,” katanya.

Menurutnya, perbincangan saat akhir dibuat apabila Jupe bersetuju datang ke negara ini dan tidak menyedari permit belum diluluskan.

Malah, produksi sudah memohon permit dengan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) sebelum Jupe datang, tetapi belum menerima surat kelulusan.

“Ketika Jupe berada di sini, pengurus produksi tiada di lokasi dan tanpa diduga, dia (Jupe) terus berlakon.

“Kami memohon maaf terhadap apa yang berlaku dan penjelasan sudah diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Persatuan Seniman Malaysia,” tambahnya.

Mengenai kritikan negatif dilemparkan Jupe terhadap kualiti drama negara ini, Sofiyant berkata, ia pandangan peribadi pelakon itu dan isu ini tidak sepatutnya berlaku.

“Mungkin kebetulan dia menonton cerita yang tidak bagus dan kita sebagai karyawan seni perlu terima hakikat drama kita mempunyai kelebihan dan kekurangan,” ujarnya.


sumber

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top