Kereta milik Noor Haidan yang hangus di Lorong Surau Baru, Pasir Panjang, pagi semalam.

KUALA TERENGGANU- “Sejak kebelakangan ini, hampir setiap hari saya rasa seperti ada sesuatu yang mungkin berlaku terhadap kereta saya, sedangkan sudah bertahun-tahun saya gunakannya tak pernah pula rasa begini, tetapi hari ini rasa tak sedap hati jadi kenyataan apabila ia musnah."

Itu luahan Noor Haidan Amran, 49, yang juga kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) apabila kehilangan kereta Atos miliknya selepas terbakar dalam kejadian di Lorong Surau Baru, Pasir Panjang, di sini, pagi semalam.

Nor Haidan berkata, kereta berkenaan digunakan sejak hampir tujuh tahun lalu.

"Saya hanya menyedari kejadian berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi selepas terdengar jeritan orang kampung memaklumkan ada api berhampiran kereta, yang diletakkan di bawah rumah milik jiran.

“Sebaik tiba, saya nampak ada kayu yang terbakar terlalu hampir dengan kereta dan sudah pun terkena pada bahagian tayar belakang. Saya cuba memadamnya dengan menyimbah sebaldi air hujan yang bertakung di lokasi kejadian," katanya.

Bagaimanapun katanya, api semakin marak dan orang kampung turut membantu memadamkan kebakaran dengan menyimbah pasir serta air.

"Namun sekelip mata sahaja api terus menyambar keseluruhan kereta sebelum merebak ke bahagian rumah.

"Sebelum ini, di bawah rumah berkenaan boleh dikatakan hampir setiap hari pasti ada remaja terutama pelajar berhampiran melepak, lebih-lebih lagi pada waktu persekolahan kerana di sini antara ‘port’ ponteng sekolah yang digemari," katanya.

Menurutnya, selain melepak, mereka juga turut menghisap orkok dan bermain api dengan membakar apa sahaja yang ada di bawah rumah.

“Sebelum ini, saya sering menegur tindakan mereka tetapi tidak diendahkan kerana mereka tidak pernah serik. Selepas ditegur, selang dua hari kemudian, mereka datang lagi.

"Saya tidak menuduh sesiapa tetapi saya yakin, kejadian ini berpunca daripada perbuatan remaja yang suka bermain api di bawah rumah berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi  Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, Pegawai Bomba Tinggi, Rozali Husin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Menurutnya, tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kebakaran melibatkan sebuah kereta di bawah rumah.

"Kami berjaya mengawal kebakaran beberapa minit sahaja dengan kekuatan seramai tujuh anggota.

“Difahamkan rumah berkenaan tidak berpenghuni ketika kejadian dan tiada kemalangan jiwa serta kecederaan dilaporkan,” katanya.

Rozali berkata, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.-sinar harian

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top