KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Soo Wincci sanggup berkorban masa dan cinta demi mengukuhkan kerjaya seninya yang kian berkembang.
Wincci, 26, berkata, antara pengorbanan besar yang dilakukan adalah menjalani kehidupan seharian tanpa rehat yang cukup dan enggan menjalin hubungan cinta dalam waktu terdekat bagi memberikan tumpuan kepada kerjaya.
"Saya tidak kisah kurang rehat kerana melakukan banyak perkara berkaitan kerja dan urusan peribadi serentak. Memandangkan kerjaya sedang berkembang, saya perlu fokus walaupun kadang-kadang saya hanya tidur dua jam sehari.
"Malah, saya juga tiada masa untuk menjalin hubungan ketika ini selepas putus cinta kira-kira setahun lalu kerana bekas kekasih tidak boleh menerima kerjaya yang saya ceburi," ujarnya ketika ditemui mStar Online.
Wincci berkata demikian pada majlis pelancaran klip video lagu terbarunya berjudul Terus Teranglah menampilkan Joe Flizzow, di Red Box Gardens Mall, di sini, petang Selasa.
Bekas ratu cantik Miss World Malaysia 2008 itu berkata, dua matlamat utama iaitu menembusi pasaran hiburan di Taiwan dan melengkapkan pengajian pada peringkat doktor falsafah (PhD) tidak mustahil untuk dicapainya dengan kesungguhan dan pengorbanan.
Wincci bersama pengarah klip video lagu Terus Teranglah, Jin pada majlis pelancaran klip itu di Red Box Gardens Mall, di sini, petang Selasa.
"Dalam masa yang sama, saya juga sedang giat menyiapkan tesis untuk PhD saya di Open University Malaysia (OUM).
"Banyak perkara yang perlu dilakukan serentak namun ia tidak mustahil. Selagi ada daya dan kemahuan, saya percaya ia boleh jadi kenyataan," kongsinya.
Bercerita mengenai perjalanan karier di Taiwan yang baru bermula sejak minggu lalu, Wincci berkata, dia perlu berulang-alik dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan kerjaya seni di negara ini.
"Saya dan pengurusan mula merisik peluang di Taiwan sejak tahun lalu. Kini kami sudah memeterai perjanjian dengan wakil di sana.
"Semuanya masih terlalu awal kerana saya adalah artis baru di sana tetapi respons setakat ini memberangsangkan.
"Saya bakal mengeluarkan album bahasa Mandarin tidak lama lagi kerana salah sebuah lagu dalam album itu dipilih sebagai lagu tema drama bersiri di sana," jelasnya.
Mengenai klip video lagu terbaru itu, Wincci berkata, hasil visual karya itu membanggakan kerana ia dilihat seperti klip video artis antarabangsa.
"Saya suka dengan hasil klip video laguTerus Teranglah yang menampilkan Joe Flizzow. Hasrat kami untuk menghasilkan klip video yang kelihatan antarabangsa menjadi kenyataan.
"Namun, saya risau juga dengan babak saya di dalam tab mandi yang kelihatan seksi. Kami perlu berhati-hati demi menjaga sensitiviti masyarakat dan mengelakkan kontroversi.
"Lagu ini pun sudah mula diputarkan di radio, jadi dengan adanya klip video ini dapat melengkapkan lagi lagu ini untuk kepuasan peminat," tuturnya. -mstar
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda