KUALA LUMPUR : Pejabat syarikat pembinaan milik jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei di Bandar Puteri, Puchong, dekat sini dipecah masuk hari ini dan tujuh buah komputer jenis Apple dilarikan pencuri.

Insiden itu disedari seorang pekerja syarikat Chong Wei Bina Jaya Sdn Bhd ketika hendak memulakan tugas pada pukul 9 pagi. Beliau kemudian memaklumkannya kepada pengarah syarikat, Lee Chong Hoon.

Chong Hoon, abang kepada pemain perseorangan badminton negara itu, mendapati tujuh buah komputer yang diletakkan di tiga bilik di dalam premis itu hilang dan terdapat kesan umpil pada ketiga-tiga pintu bilik berkenaan.

“Pencuri dipercayai masuk melalui pintu depan kerana terdapat kesan diumpil pada jeriji besi bangunan rumah kedai (setinggi tiga tingkat) ini. Malah keadaan pejabat berselerak dan kertas bertaburan dipercayai digeledah penceroboh,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Namun Chong Hoon bersyukur kerana raket badminton yang digunakan Chong Wei ketika menjuarai Kejohanan All England pada 30 Januari tahun lepas, tidak dilarikan.

Raket itu telah dibida seseorang pada harga RM74,000 untuk didermakan kepada mangsa Tsunami di Jepun.

Bagaimanapun, katanya, mereka kehilangan salinan koleksi gambar praperkahwinan Chong Wei dengan Wong Mew Choo yang disimpan di dalam sebuah komputer yang dilarikan.

Kerugian ditaksirkan kira-kira RM30,000, katanya.

Chong Hoon berkata waktu kejadian dan jumlah penceroboh tidak dapat dipastikan kerana kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang, belum berfungsi kerana pejabat itu baru beroperasi kira-kira dua bulan lalu, selepas berpindah dari lokasi asal di Puchong Boulevard.

Katanya insiden itu telah dimaklumkan kepada Chong Wei yang kini berada di Denmark, dan beliau meminta supaya hal itu diuruskan segera selain bertanyakan mengenai barang yang hilang.

Chong Wei kini menyertai Kejohanan Badminton Terbuka Denmark yang akan bermula esok sehingga Ahad.

Chong Hoon membuat laporan polis di Balai Polis Puchong Jaya berhubung insiden itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang Supt Lam Chien Fei ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu. – Bernama

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top