Najib atau Anwar: Buat pilihan bijak pilih
MUKADIMAH: Rakyat kini berada dalam dilema apabila negara seperti mempunyai 'dua pemimpin' di mana salah seorang daripada mereka yang sering mempertikai apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang, tetapi rakyat sendiri tahu menilai setiap tindak-tanduk yang dilakukan pemimpin tersebut.
Perkara ini diketengahkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dalam wawancara bersama wartawan Sinar Harian ARHIZA AHMAD, WAN NASRAH ABDUL RAHIM dan jurufoto AZMI ARIYANTO.
Sebagai veteran Umno, boleh Tan Sri beri pandangan apakah hala tuju Umno dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)?
RAHIM: Sebagai bekas Ketua Pemuda dan Ketua Menteri Melaka, hala tuju Umno untuk memimpin negara adalah satu cabaran besar. Menjelang PRU13 beberapa faktor telah wujud di luar kawalan Umno dan Barisan Nasional (BN) itu sendiri.
Terdapat faktor Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana beliau adalah antara penyebab berlaku konflik dalam politik Malaysia kerana apabila beliau digugurkan daripada menjadi pemimpin Umno pada suatu masa dahulu, beliau masih lagi meneruskan cita-citanya yang tidak terlaksana untuk menjadi pemimpin nombor satu negara.
SINAR HARIAN: Selain faktor Anwar, apakah ada faktor yang lain?
RAHIM: Selain itu, kewujudan generasi Y di mana golongan muda yang mempunyai pelajaran tetapi tidak mempunyai penghayatan dan cintakan terhadap negara. Ini menyebabkan mereka dipergunakan oleh mana-mana pihak termasuk pembangkang.
Cabaran ini memberikan tekanan kepada Umno. Oleh demikian, parti ini perlu mempunyai strategi dan dasar termasuk pendekatan yang mampu menentang arus tidak menentu termasuk unsur-unsur luar negara yang memberi sokongan kepada pembangkang dari fizikal dan kewangan.
SINAR HARIAN: Bagaimana Tan Sri lihat kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin Umno, BN dan kerajaan umumnya?
RAHIM: Walaupun wujud kesemua faktor tersebut, namun saya lihat BN dan Umno amat bertuah mempunyai pemimpin seperti Najib yang telah lama terdedah dengan pelbagai cabaran. Ini memberikan tunjang kepada BN dan parti komponen untuk berjuang bagi merealisasi hasrat kerajaan dalam menjaga kepentingan rakyat dan memajukan negara ini.
Pengalaman ini telah memudahkan beliau untuk melakar strategi dan merangka polisi yang sesuai dalam menghadapi dua faktor penting iaitu Anwar dan generasi Y, pada masa yang sama beliau turut menonjolkan Umno dan BN sepanjang masa.
SINAR HARIAN: Apakah langkah yang perlu diambil Umno bagi menangani dua faktor tersebut ?
RAHIM: Langkah yang diambil oleh Perdana Menteri adalah dengan menonjolkan relevannya Umno itu sendiri dengan memastikan kumpulan Anwar yang mendapat sokongan daripada luar negara itu didedahkan sebagai satu kumpulan yang tidak sesuai untuk memimpin negara. Kita lihat juga lihat Pakatan Rakyat (PR) gagal dijadikan sebagai parti berperlembagaan, ini membuatkan BN dan Umno bertambah yakin kerana PR itu sendiri sentiasa bergolak di antara satu sama lain.
Akibat tidak mempunyai sifat setia kawan yang kuat seperti BN isu yang sensitif sentiasa meledak dalam PR itu sendiri Rakyat boleh melihat sendiri parti yang berada dalam PR iaitu PKR, DAP dan Pas sentiasa bermain wayang dan cuba membohongi rakyat dengan menyatakan mereka ini serasi dan mempunyai perpaduan di antara satu sama lain.
SINAR HARIAN: Realitinya mereka ini tidak sekata dalam apa jua isu seperti hukum hudud, kepimpinan ulama dan negara Islam. Apa pandangan Tan Sri?
RAHIM: Walaupun DAP dapat mempengaruhi pembuat dasar dalam Pas tetapi ada juga kekangan sebahagian daripada kalangan ahli tidak bersetuju dengan pandangan sebahagian daripada kepimpinan Pas itu sendiri. Kini timbul ketegangan dalam Pas apabila para pemimpinnya cuba memenuhi semangat setia kawan mereka.
Jika ia tidak dapat dikawal oleh PR, ia merupakan bencana politik yang mereka hadapi kerana semua parti yang berada dalam PR itu berlainan ideologi serta mempunyai kemahuan sendiri dan tidak sepakat antara satu sama lain. Pembangkang juga mempunyai masalah unik tersendiri di mana PKR mereka mempunyai krisis kepimpinan yang disediakan maklum oleh semua pihak, terutama oleh rakyat jelata.
Pas pula dilihat tidak mempunyai prinsip perjuangan di mana sentiasa mengubah hala tuju perjuangan malah mereka juga telah memecat Datuk Dr Hasan Mohamad Ali yang memperjuangkan akidah umat Islam. DAP dilihat sebagai sebuah parti yang bersifat perkauman, bukan sahaja kenyataan yang dibuat terhadap Pas dan Islam tetapi dasar fizikal yang mengenepikan rakyat miskin dan memberi keutamaan kepada syarikat besar bagi meneruskan projek besar untuk menolak pemilikan tanah bagi rakyat di negeri yang diperintah oleh mereka.
SINAR HARIAN: Bagaimana Tan Sri melihat pembangkang membuat pelbagai tohmahan terhadap kerajaan sekarang?
RAHIM: Pembangkang membuat pelbagai tuduhan terhadap kepimpinan Najib yang mana bertujuan untuk mempengaruhi rakyat negara ini, kerana tidak mahu rakyat menerima apa yang dibawa oleh beliau kerana corak pemerintah yang dibawa itu memberi manfaat kepada masyarakat. Ini membuat mereka bimbang pada hal rakyat sendiri tahu menilai.
Ini bukan asas yang kukuh untuk mereka bagi mempengaruhi rakyat, kerana selaku Perdana Menteri, Najib telah melaksanakan pelbagai program transformasi bagi generasi sekarang dan akan datang selaras dengan pembangunan dunia di masa kini.
Malah Najib juga tidak pernah melupakan akar umbi yang berjuang sama ada di dalam Umno dan parti komponen BN yang bersama membangunkan negara ini untuk dinikmati oleh rakyat pada masa kini. Banyak perkara dilakukan oleh Perdana Menteri dengan menyediakan pelbagai bantuan secara dan tidak langsung, malah perkara ini tidak pernah terfikir pembangkang.
Pendekatan seperti ini telah melahirkan satu perasaan yang mendalam tentang kejujuran dan keikhlasan kepimpinan negara.
SIHAR HARIAN: Adakah kedudukan parti komponen membantu BN menghadapi PRU13 ?
RAHIM: Parti komponen BN dilihat tidak mempunyai kekuatan seperti dulu. Ini kerana pembangkang sering memainkan isu perkauman. Ini secara tidak langsung sedikit sebanyak menggugat sokongan yang sedia ada. Ada juga dalam parti komponen itu memerlukan perubahan, ini kerana ada juga beranggapan jika kepimpinan itu tidak berubah ia boleh membuat parti itu goyang.
Parti komponen itu perlu bersatu dan berdiri teguh dalam BN yang mana ia bertujuan untuk membaiki kelemahan yang sedia ada bukan hanya pandai berkata-kata tetapi ia perlu dilahirkan dalam bentuk perbuatan untuk sama-sama mengekalkan BN sebagai parti pemerintah.
SINAR HARIAN: Apa harapan Tan Sri agar negara tidak dipimpin pihak yang salah?
RAHIM: Harapan saya agar rakyat Malaysia Antara cabaran buat BN adalah generasi Y iaitu golongan muda yang mempunyai pelajaran tetapi tidak mempunyai penghayatan dan cintakan terhadap negara. yang berbilang kaum ini membuat satu keputusan dan bergabung antara satu sama lain, seperti melihat rekod yang dibawa oleh BN dan Umno dalam memimpin negara seperti mana yang berlaku di zaman Melaka pada 600 tahun dahulu sama ada kita mahukan Hang Tuah atau Hang Jebat. Kini perkara sama yang berlaku di negara ketika ini.
Siapakah yang kita mahu, Najib atau Anwar?
Bagaimanapun pemilihan yang dilakukan itu jangan dibuat dengan sesuka hati, kita perlu menilai buruk baiknya sesuatu perkara tersebut, malah apa yang dibawa oleh Najib sekarang ini telah membuahkan hasil dan pada masa kini dibaratkan rakyat sedang menuai hasil daripada pelbagai program transformasi yang diperkenalkan oleh beliau.
Tidak mungkin kita mahukan Anwar yang mengejar cita-cita peribadinya yang mahukan jawatan nombor satu dalam negara dan mempergunakan semua pihak dan membuat pembohongan serta janji palsu sama ada terhadap individu, parti politik, pihak yang berkepentingan sama ada di dalam ataupun di luar negara.
Saya yakin rakyat negara ini boleh menilai, ia perlu dilakukan demi masa depan negara untuk membela untung nasib sesebuah negara, bermaruah, maju dan makmur. Oleh itu dalam pilihan raya yang akan datang kita harus membuat tindakan bijak dalam memilih.
PROFIL:
Profil Nama: Rahim Tamby Chik
Tarikh lahir: 10 April 1950
Umur: 62
Tempat lahir: Masjid Tanah, Melaka
Isteri: Zabedah Abdullah
Anak: 4 - Zetty Juyanty, Tutty Rahiza,
Petty Diyana dan Rahimy
Pendidikan:
Sekolah rendah
Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak,
Masjid Tanah 1957 - 1962
Sekolah menengah
SMK Ghafar Baba 1963-1967
Sekolah Menengah Datuk Seri Amar
Diraja, Muar 1968-1969
Universiti
Universiti Malaya 1969-1973
(Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Gunaan)
Universiti of the Philippines 1997-1999
(Doktor Falsafah Pentadbiran Perniagaan)
Jawatan
Pengerusi Risda
Tempoh berjawat: 16 Mei 2010 – kini
Ketua Menteri Melaka
Tempoh berjawat: 1982 – 1994
Adun Kelemak, Melaka
Tempoh berjawat: 1979 – 1982
Adun Masjid Tanah, Melaka
Tempoh berjawat: 1982 – 1990
Politik:
Exco Pemuda Umno (1976)
Ketua Pemuda Umno Melaka (1978)
Ahli Dewan Undangan Negeri Kelemak (1979)
Ketua Menteri Melaka (1982-1994)
Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Melaka (1983-1984)
Pengerusi Perhubungan Umno Melaka (1984-1994)
Ketua Pemuda Umno Malaysia (1993-1996)
Pencapaian anugerah:
1978 - Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) oleh Tuan Yang Terutama Melaka
1980 - Ahli Mangku Negara (A.M.N) oleh Yang di-Pertuan Agong
1983 - Darjah Paduka Mahkota Johor (D.P.M.J) - Dato’ oleh Sultan Johor
1984 - Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) - Datuk Seri oleh Tuan Yang Terutama Melaka
1988 - Datuk Amar Bintang Kenyalang (D.A) - Datuk Amar oleh Tuan Yang Terutama Sarawak
1989 - Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A) - Dato' oleh Sultan Selangor
1990 - Panglima Setia Mahkota (P.S.M) - Tan Sri oleh Yang di-Pertuan Agong
1990 - Doctoral of Political Science (Honoris Causa) Pacific Western University, Los Angeles, USA
sinar
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda