Gambar hiasan


MERSING: Seorang warga emas rugi RM25,000 apabila begnya yang mengandungi barangan kemas dan wang tunai dilarikan seorang lelaki ketika sedang sujud di surau Kampung Air Merah di sini, 5 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, dalam kejadian itu, mangsa yang juga seorang perempuan sedang solat Maghrib di surau berkenaan.

“Mangsa berasal dari kampung berkenaan sedang sujud apabila begnya tiba-tiba dilarikan seorang lelaki.

“Jemaah surau berkenaan kemudian mengejar suspek namun lelaki terbabit dapat melarikan diri dalam kegelapan malam,” katanya, semalam.


Menurut Mohd Nor, mangsa membuat laporan berkaitan kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing pada malam itu juga.


Mohd Nor berkata, pihaknya menyerbu kediaman suspek yang juga sekampung dengan mangsa namun gagal menemui lelaki terbabit.

“Berikutan itu, kami sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Mohd Ikhwan Abdul Rahman, berusia 32 tahun bagi membantu siasatan kes ini.


“Mohd Ikhwan dipercayai menghilangkan diri ke Johor Bahru sejurus kejadian. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek diminta menghubungi IPD Mersing di talian 07-7992222 atau mana- mana balai polis berhampiran,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan. -mymetro

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top