KUALA LUMPUR – Siasatan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) berhubung penurunan paras air di Kolam Air Hicom di sini mendapati kejadian itu angkara perbuatan khianat pihak tertentu.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, siasatan Syabas mendapati terdapat pihak tidak bertanggungjawab menutup salah satu injap yang mengawal dan menyalurkan bekalan air ke kolam berkenaan.



“Akibatnya setengah kawasan di Klang dan Shah Alam, Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual serta tekanan air rendah sejak pukul 6 pagi ini. Satu laporan polis telah dibuat berhubungan penemuan itu hari ini,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Priscilla berkata, setakat pukul 1 petang ini, Syabas menerima sebanyak 70 aduan melibatkan ketiadaan air, 10 aduan tekanan air rendah dan permintaan bekalan air menerusi lori tangki diakibatkan insiden itu.

Menurut beliau, perbuatan khianat pihak tidak bertanggungjawab itu juga menyebabkan kira-kira 33,464 akaun pengguna terjejas.

Bagaimanapun, katanya, Syabas telah membuka semula injap berkenaan kira-kira pukul 12.15 tengahari ini bagi memenuhi semula kolam berkenaan.

Namun, kata beliau, disebabkan permintaan terhadap bekalan air terawat oleh pengguna meningkat, Syabas menganggarkan tempoh pemulihan bekalan air di semua kawasan terlibat hanya akan pulih sepenuhnya dalam tempoh dua hari.

Tegasnya, Syabas memandang serius kejadian itu dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat kerana perbuatan itu menjejaskan kehidupan harian orang ramai. – mynewshub.my

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top