Juriah bercerita detik cemas kepada Munusamy dan pemimpin Umno Bahagian Pasir Gudang yang hadir.


PASIR GUDANG – Jeritan jiran yang terkejut melihat api sedang marak membakar tingkat atas rumah sebelah menyelamatkan jirannya dalam kebakaran yang berlaku di Taman Bunga Raya Masai, di sini, kelmarin.

Siti Sarah Sarahan, 60, berkata, ketika kejadian dia bersama empat saudara yang lain sedang berehat selepas pulang bekerja sekitar jam 6 petang.


Menurutnya, tindakannya yang mengecas tiga telefon bimbit disyaki menjadi punca kebakaran yang turut memusnahkan bahagian atas dua rumah yang bersebelahan.

“Saya bergegas keluar rumah sebaik terdengar jeritan kebakaran dari jiran sebelah dan terkejut melihat api sudah marak membakar bahagian tingkat atas rumah ini.

“Nasib baik bomba cepat sampai, kalau tidak memang habis rumah ini musnah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Seorang lagi mangsa, Juriah Ismail, 50, berkata, ketika kejadian dia yang sedang mengajar 10 anak buahnya mengaji Al-Quran terkejut terdengar bunyi letupan.

Menurutnya, sebaik menjengah di pintu utama, dia menjerit meminta tolong selepas melihat api marak di bahagian atas rumah jiran sebelah.

“Saya segera menyuruh anak buah keluar rumah untuk menyelamatkan diri kerana kepulan asap mulai tebal memenuhi ruang rumah saya.

“Walaupun sedih melihat ruang atas rumah yang saya diami sejak 16 tahun lepas turut musnah dalam kebakaran, tapi saya bersyukur kerana tidak ada yang terkorban,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Daerah Mengundi Masai Tengah, Normala Abd Samad berkata, pihaknya akan membaik pulih tiga rumah itu.

Menurutnya, sumbangan wang tunai daripada Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut disampaikan untuk membantu meringankan beban mangsa yang terlibat.

“Ahli Parlimen telah bersetuju untuk membantu membaik pulih sepenuhnya tiga rumah yang musnah.

“Kita turut bersimpati dan berharap kesemua mangsa bersabar,” katanya.

Turut hadir melawat mangsa, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Datuk M Munusamy; Pengerusi Biro Kebajikan Umno Bahagian Pasir Gudang, Rozlan A Bakar dan Ketua Kampung Masai, Salim Juaher.-sinar harian

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top