EKORAN sambutan yang menggalakkan, tayangan filem terbaru keluaran KRU Studios, Hantu Kapcai telah disambung seminggu lagi.

Kebiasaannya, filem tempatan hanya ditayangkan selama dua minggu.

Penerbit Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim berkata, tayangan filem itu akan disambung sehingga 18 Oktober berikutan sambutan hangat yang diberikan penonton.


“Buat masa ini, jumlah kutipan Hantu Kapcai sudah mencecah RM3 juta dan saya mengharapkan angka itu dapat bertambah sehingga RM3.5 juta, insya-Allah," katanya.

Ketika ditanya mengenai tarikh tayangan itu tidak dicukupkan kepada sebulan terus, lantas Norman menjelaskan, “disebabkan tayangan dua filem seminggu."

"Oleh itu, kami hanya mendapat lanjutan tayangan selama seminggu kerana terpaksa bersaing dengan banyak filem yang bakal ditayangkan.

“Walaupun industri perfileman negara kebelakangan ini menunjukkan kesuramannya, tetapi Hantu Kapcai berjaya memecahkan kesunyian itu dan saya bersyukur dengan sambutan yang diberikan peminat filem tempatan,” kata Norman yang kini berada di Perancis ketika dihubungi Sinar Harian Online sebentar tadi.

Hantu Kapcai arahan Ghaz Abu Bakar yang dibintangi Zizan Razak, Remy Ishak, Fizz Fairuz, Izzue Islam, Neelofa dan Hairul Azreen telah ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 27 September lalu.

Hantu Kapcai mengisahkan Ajib lakonan Zizan, seorang mat rempit yang kesempitan wang telah terjebak dalam perlumbaan haram dengan musuh ketatnya, Tiger (Remy) demi memenangi wang pertaruhan.

Bagi memastikan kemenangan berpihak kepadanya, Tiger telah melakukan khianat dalam perlumbaan itu sehingga menyebabkan kemalangan ngeri yang mengorbankan nyawa Ajib.

Ajib kini menjadi hantu yang hanya mampu dilihat oleh calon Imam Muda di kampungnya iaitu Ibrahim (Fizz). -sinar

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top