Dr Sheikh Muszaphar Shukor menurunkan tanda tangan pada poster filem pertama lakonannya sambil diperhatikan rakan-rakan dalam dunia seni.

KUALA LUMPUR: Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor terkilan apabila arwah bapanya iaitu Allahyarham Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Abdul Shukor tidak sempat melihat hasil filem mengenai perjalanannya ke angkasa lepas yang diberi judul No.1 - 10 Hari: 21 Jam: 14 Minit Di Pintu Ajal.

Sheikh Muszaphar berkata, bapanya yang meninggal dunia pada 7 September lalu adalah insan yang bersungguh-sungguh untuk merealisasikan projek berkenaan.


Ia bertujuan untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat terutamanya mendidik generasi muda.

"Bertahun-tahun Allahyarham merancang projek ini namun tiada rezeki untuk beliau melihat hasilnya.

"Bagaimanapun saya sebagai anak meneruskan niatnya untuk menyebarkan maklumat dan keadaan sebenar di angkasa lepas dalam bentuk filem," ujarnya selepas ditemui pada sidang media pelancaran filem tersebut yang diadakan di Kompleks Studio Merdeka, di sini pada Rabu.

Filem itu bakal menggabungkan elemen imej janaan komputer (CGI) dan 3D bersama visual asal yang dirakamkan sendiri oleh Sheikh Muszaphar semasa berada di angkasa lepas.
Imran Ismail

Ia dijangka akan ditayangkan kepada umum pada Mac tahun hadapan.

Dalam pada itu, Sheikh Muszaphar berkata, filem itu akan memaparkan tiga elemen penting iaitu tentang kebesaran Allah S.W.T, teknologi sains dan pemandangan bumi dari angkasa lepas.

Beliau ingin memberi pemahaman kepada masyarakat tentang kesukaran berada di luar orbit bumi selain memberi mereka peluang untuk melihat sendiri keajaiban yang terdapat di angkasa.

"Saya tidak tahu bagaimana ingin menjelaskan dalam bahasa mudah keadaan di sana dan kebesaran Allah yang maha kuasa.

"Dengan adanya filem dan visual hampir 10 jam yang saya rakamkan ia dapat memberi peluang kepada penonton merasai sendiri pengalaman saya," ujarnya.

Tambah Sheikh Muszaphar, pihaknya mengambil masa lama untuk menerbitkan filem tersebut kerana sebelum ini beliau banyak memberikan penekanan kepada soal pendidikan dan motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah.

"Selepas lima tahun, saya fikir ini adalah masa sesuai untuk memaparkan semua visual yang belum pernah disaksikan dalam sebuah filem," katanya.

Sementara itu, pengarahnya, Imran Ismail berkata, filem berkenaan akan memaparkan sepenuhnya pengalaman Sheikh Muszaphar tanpa melibatkan pelakon lain.

Pihaknya menggunakan seratus peratus visual asal yang dibekalkan oleh Angkasawan Negara itu dengan memasukkan elemen-elemen emosi seperti gembira dan sedih bagi menghidupkan jalan ceritanya.

"Sebab itu kita memilih genre “rencana” berbanding dokumentari kerana menerusi cabang itu kita dapat mengolah jalan cerita supaya lebih meninggalkan kesan emosi kepada penonton.

"Malah menerusi filem ini kita akan dapat membuktikan apa yang tertulis di dalam Al-Quran adalah benar, ujarnya.

Ditanya mengenai tajuk filem tersebut yang kelihatan seperti pelik Imran berkata, angka pada judul berkenaan adalah simbolik perjalanan beliau sementara “Di Pintu Ajal” pula menggambarkan bahaya yang dilalui apabila terpaksa menggadai nyawa.

No 1 - 10 Hari: 21 Jam: 14 Minit Di Pintu Ajal adalah sebuah kisah benar yang dirakamkan Sheikh Muszaphar di dalam kapal angkasa SOYUZ TMA-11 milik Russian Federal Space Agency yang mengorbit di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dari 10 Oktober 2007 sehingga 21 Oktober 2007.-mstar


Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top