Wajah terbaru Erin ketika berada di lokasi penggambaran filem Lari di Perlis, baru-baru ini.

PETALING JAYA: Pelakon remaja Erin Malek mengakui peningkatan usianya yang kini mencecah 18 tahun menjadikan dia semakin matang dalam menghadapi konflik keluarga yang pernah berlaku sebelum ini.

Erin atau nama sebenarnya Nur’Arina Abdul Malek berkata, dia kini kembali tenteram selepas hampir dua tahun kontroversi yang mendakwa bapanya, seorang jurukamera Malek Marwi, 36, menjalin hubungan dengan aktres Fiza (Elite) sehingga menyebabkan perceraian ibu bapanya.


“Ketika konflik keluarga berlaku pada dua tahun lalu, saya masih di bangku sekolah dan tekanannya amat berat buat saya.

“Saya akui pernah melakukan beberapa kesilapan kerana tertekan. Alhamdulillah, keadaan saya semakin stabil dan tenteram, mungkin kerana saya semakin meningkat dewasa.

“Keadaan kami sekeluarga juga semakin baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Aktres Tentang Bulan ini berkata, pada waktu ini dia mahu memulakan semula kerjaya lakonannya yang tertangguh hampir dua tahun kerana bersekolah.

“Sebelum ini saya sibuk sebagai pelajar sekolah. Saya cuba menjalani kehidupan remaja normal tanpa ada limpahan publisiti.

“Sebab itu, saya jarang menghadiri majlis atau acara hiburan sepanjang tempoh itu. Kini saya sudah tamat persekolahan dan mahu aktif berlakon seperti dulu,” katanya.

Terbaru, Erin sedang terlibat dalam penggambaran filem arahan Ahmad Idham berjudul Lari yang menjalani penggambaran di Perlis sejak 16 September lalu.

“Saya bersyukur sangat dengan tawaran Ahmad Idham selepas hampir tiga tahun kami tidak bekerjasama dalam filem.

“Ketika saya meraikan ulang tahun kelahiran ke-18 pada Julai lalu, dia menghubungi saya untuk menawarkan watak Ina dalam filem ini dan saya terimanya tanpa berfikir panjang,” katanya.

Lari yang merupakan filem ke-10 terbitan dan arahan Ahmad Idham menerusi Excellent Pictures Sdn Bhd, turut membariskan Aaron Aziz, Dira Abu Zahar dan Hazama Azmi (AF9).

Filem aksi yang menelan kos produksi sebanyak RM2.5 juta menjalani penggambaran di Perlis, Kuala Lumpur dan Ipoh, Perak selama 35 hari. Ia dijangka ditayangkan pada 2013. -mstar

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top