Kisah cinta dua figura seni ini bukan lagi satu berita baru. Sejak mula menjalinkan hubungan lagi, masyarakat sekeliling sudah maklum mengenai perhubungan mereka.

Apatah lagi, selepas beberapa keping gambar mesra Ammar Alfian Aziz dan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin tersebar, keduanya tidak pernah bermain tarik tali dengan media dan peminat mengenai percintaan mereka.

Justeru, selepas empat tahun menjalinkan hubungan cinta, keduanya mengakui sudah sedia untuk menyimpulkan percintaan mereka dengan ikatan yang lebih suci-perkahwinan.


"Sejujurnya, memang kami sudah merancang untuk berkahwin dan kedua-dua belah keluarga juga sudah berjumpa untuk berkenal-kenalan. Malah, Ammar juga pernah berbincang mengenai perkara ini.

"Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk memperkatakan dengan lebih lanjut mengenai hal ini. Mungkin bila sudah ada ketetapan waktu dan tarikh, barulah kami akan maklumkan kepada semua," ujar Sarah kepada Zass.

Sependapat dengan Sarah, Ammar berkata, masih terlalu awal untuk memberitahu kepada umum mengenai rencana mereka kerana bimbang ia tidak berjalan seperti yang dirancang.

"Macam tahun lepas, kami pernah merancang untuk bertunang tapi tak jadi kenyataan sebab masing-masing sibuk. Jadi saya bimbang kalau beritahu terlalu awal, ia tidak akan terjadi.

"Apa pun, kami memang sudah bersedia untuk berkahwin dan keluarga juga galakkan kami berkahwin kerana sudah lama berkawan. Insya-Allah kalau sudah sampai seru, kami akan berkahwin juga," katanya.

Sarah berkata, mereka akhirnya sepakat untuk mendirikan rumah tangga selepas keduanya mempunyai pendapatan yang stabil.

"Bagi saya sendiri, tidak kisah berkahwin lambat, asalkan kami sudah ada pendapatan yang stabil, ada kereta dan rumah. Daripada kami berkahwin awal, tapi pendapatan tak stabil, duduk rumah sewa.

"Itu semua mungkin akan menjadi sebahagian punca perbalahan yang akhirnya meranapkan rumah tangga. Jadi bila sudah betul-betul stabil sekarang, barulah kami fikir tentang fasa yang seterusnya," jelasnya.

Usia bukan penghalang

Menyentuh tentang usianya yang dua tahun lebih tua daripada Ammar, Sarah berkata, biarpun Ammar lebih muda, namun jejaka berusia 25 tahun itu lebih matang dari usianya.

Malah, sikap Ammar yang pandai mengambil hati dan pandai memujuk membuatkan Sarah berasa selesa berada di samping Ammar.

"Walaupun saya anak sulung, saya akui jenis yang cepat merajuk, tapi Ammar sabar dengan kerenah saya dan dia pandai memujuk serta kelakar orangnya," katanya.

Bagi Ammar pula, sejak dahulu lagi, dia memang sukakan wanita yang lebih berusia dan mengakui berasa bahagia bersama Sarah.

"Walaupun dia lebih tua, tapi Sarah manja orangnya dan memang tak terasalah dia tua. Tapi Sarah taklah terlalu tua kerana kami beza dua tahun saja (ketawa). Apa yang penting kami sekepala dan saya masih tahan dengan perangainya," ujarnya.

Mengimbau detik perkenalan hubungan mereka, Sarah berkata, dia mengenali Ammar melalui laman sosial Facebook, ketika sedang menuntut di peringkat Diploma.

"Kami sebenarnya pernah bersekolah di sekolah teknik yang sama. Tapi tidak saling mengenali antara satu sama lain. Namun selepas menyertai industri, kami berkenalan melalui Facebook.

"Bermula sebagai kawan, saya tidak sangka hubungan kami akan menjadi rapat dari hari ke hari sehinggalah ke tahap bercinta," katanya.

Merajuk kerana kontroversi?

Selepas kontroversi membabitkan pergaduhan Ammar dengan media dua tahun lalu, Sarah dan Ammar  dilihat sama-sama menghilangkan diri sehingga ada yang beranggapan pasangan ini merajuk.

Namun, menjelaskan situasi sebenar, Sarah berkata, dia tidak mahu muncul di media kerana cerita kontroversi semata-mata.

"Sifu saya dalam industri pernah menasihatkan kalau saya mahu muncul, biarlah dengan cerita kerjaya kerana kelak nanti orang akan meluat dengan kita.

"Hakikatnya saya bukan merajuk, kerana masih terikat dengan lakonan, cuma tidak terlalu menonjolkan diri," katanya.

Begitu juga dengan Ammar, anak kelahiran United Kingdom ini juga menegaskan dia tidak pernah merajuk atau terasa hati dengan mana-mana pihak, sebaliknya mahu bersikap 'low profile' dan memberi tumpuan terhadap kariernya sahaja.

Katanya, sepanjang tempoh sunyi dari publisiti, dia masih menerima tawaran berlakon dan juga sibuk dengan bidang peragaan.

"Tiada istilah merajuk atau berkecil hati kerana saya tidak mahu keluar di media tanpa produk. Saya juga sibuk dengan karier saya sebagai jurulatih peribadi," jelasnya.

Sarah berundur

Bercerita mengenai perkembangan seninya, Sarah berkata, buat masa ini, dia hanya terlibat dengan penggambaran drama bersiri KL Drift.

Namun, dalam masa yang sama sedang menunggu temu duga dari mana-mana hotel kerana berhasrat untuk bekerja di bidang yang lebih stabil.

"Saya bukanlah kata bidang seni tidak stabil tapi saya mahu beralih ke bidang yang lebih stabil memandangkan saya sendiri ada ijazah dalam bidang Pengurusan Perhotelan.

"Jadi saya mahu menyertai bidang yang ada pendapatan tetap dan jaminan masa depan. Sekiranya saya dapat tawaran menarik dari pihak perhotelan, saya tidak teragak-agak untuk berundur dari bidang seni dan beralih ke bidang yang saya minati ini," ujarnya.

Ammar sasar 10 tahun

Menyentuh tentang perkembangan seninya, Ammar berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri KL Drift dan baru sahaja selesai menjalani penggambaran dua telemovie bersama Global Station.

Jika si kekasih memilih untuk berundur  dari bidang seni dalam masa terdekat ini, Ammar pula memilih untuk terus kekal dan fokus dalam bidang seni.

Bagaimanapun, dia meletakkan sasaran mempunyai sebuah gimnasium sendiri dalam tempoh 10 tahun lagi sebagai jaminan masa depannya.

“Memang sejak di peringkat pengajian tinggi lagi saya mengambil bidang Sains Sukan dalam jurusan ‘personal training’. Jadi jika ada rezeki, Insya-Allah saya berharap ada gimnasium sendiri pada suatu hari nanti,” katanya. -sinar

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top